KUALA LUMPUR: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang kukuh, stabil dan berfungsi, kata Setiausaha Agung Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata selepas hampir enam bulan Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, semua pihak di dalam kerajaan tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus melangkah ke hadapan dan bersama-sama membina negara bangsa.

Selain itu katanya, asas perpaduan yang diterapkan oleh kerajaan juga sangat jelas dalam konteks sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

"Selepas konvensyen ini, kita bawa balik keyakinan bawah kerajaan kita ini kerajaan yang kukuh, stabil dan berfungsi. Asas perpaduan sesama kita antara orang Melayu dan bukan Melayu, Muslim dan bukan Muslim juga jelas, iaitu memelihara dan menjaga kepentingan bersama.

"Kepentingan bersama yang mengikat kita semua, misalnya menyumbang kestabilan politik, memakmurkan dan merakyatkan ekonomi dan menjaga keamanan negara," katanya ketika sesi Bicara Rakyat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini hari ini.

Konvensyen yang menghimpunkan 19 parti politik yang mendukung Kerajaan Perpaduan itu berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Sementara itu dalam sesi sama, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah peristiwa bersejarah menghimpunkan parti-parti politik membentuk kerajaan yang stabil.

Sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang digarap hasil kesepakatan dalam kerajaan, beliau juga turut menggariskan lima cadangan untuk mengorak langkah ke hadapan untuk negara bangsa.

"Pertama, kita cari titik persamaan bukannya perbezaan. Jadikan pentas ini (konvensyen) untuk mencari persamaan; keduanya, kita harus berkolaborasi sesama kita dan bukannya berkonfrontasi untuk negara yang lebih baik; ketiga, sifat ihsan dan bukannya kebencian.

"Keempat, semua pihak perlu berkongi kuasa dan bukannya keangkuhan kuasa dan terakhir bekerja dengan secara berhikmah dan bukannya beremosi," katanya.

Bagi Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook ketika berucap pada sesi ucapan pimpinan utama di konvensyen itu, membuktikan dakwaan kononnya DAP mendominasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak tepat sama sekali, Menteri Pengangkutan itu berkata Kerajaan Perpaduan yang didukung oleh 19 parti politik memiliki sokongan daripada 148 Ahli Parlimen.

Katanya daripada jumlah itu, 77 daripadanya adalah Ahli Parlimen Bumiputera yang beragama Islam, 16 Ahli Parlimen Bumiputera bukan Islam, Cina (43) serta 12 Ahli Parlimen India dan lain-lain.

"Maksudnya majoriti dalam Kerajaan Perpaduan ini masih didokong oleh Ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam dan Bumiputera. Jadi pada hari ini, kita bukannya mainan campur-tolak, yang pentingnya ialah kita mesti menjalinkan kerjasama dan memastikan hubungan kaum yang baik.

"...persaingan bukan antara kita tetapi persaingan adalah antara Malaysia dan negara luar," katanya.

Mengulas mengenai hasrat Kerajaan Perpaduan, katanya ia adalah untuk mengembalikan kestabilan politik, mempertahankan kepelbagaian dan kemajmukan dalam negara dan menjalinkan kerjasama di antara kaum, agama dan wilayah.

-- BERNAMA