KUALA TERENGGANU: Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang diadakan esok memberi isyarat jelas bahawa kestabilan kerajaan kini akan menjadi asas kepada pembangunan negara serta kemakmuran rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata ini kerana jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada semua Ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan untuk turut serta dalam konvensyen berkenaan memberi isyarat yang sangat positif tentang kestabilan kerajaan ini.

"Perkara itu bagi saya adalah simbol dan signal yang paling penting dan jelas daripada konvensyen ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Menteri dan Warga Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Terengganu di Auditorium RTM, di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata amanat Perdana Menteri serta barisan pimpinan utama dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan dijangka berlangsung selepas 3 petang.

Konvensyen itu dijangka menghimpunkan 10,000 perwakilan daripada 19 parti politik dalam gabungan Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Konvensyen itu bermula pada 10 pagi dengan Konvensyen Nasional Wanita Kerajaan Perpaduan dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri Kerajaan Perpaduan, masing-masing di Dewan Merdeka dan Dewan Tun Hussein.

Mengenai pembahagian kerusi parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, Fahmi berkata perbincangan masih berterusan dan mungkin telah mencapai 80 peratus perkembangan mengenai perkara itu.

"Setiap negeri ada dinamik sendiri...proses itu masih berterusan dan jangkaan saya mungkin tidak banyak lagi yang perlu kita selesaikan tetapi angka penuh dan terkini perlu rujuk pimpinan lain," kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu.

Enam negeri yang terlibat PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

-- BERNAMA