PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak orang ramai hadir memeriahkan Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, di sini, bermula hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET (MTVET) Negara berkata, sambutan Hari TVET Negara 2026 membuka tirai dengan pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung.
“Saya ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan sambutan yang berlangsung bermula 9 pagi hari ini hingga 7 Jun 2026.
“Pelbagai aktiviti menarik menanti anda termasuk pameran teknologi dan inovasi, karnival kerjaya, pertandingan kemahiran, seminar industri, demonstrasi teknologi serta pelbagai pengisian interaktif untuk seisi keluarga,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Ahmad Zahid juga mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk meraikan bakat, kemahiran dan masa depan negara di Hari TVET Negara 2026.
Sambutan tersebut yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung mengetengahkan peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan pemacu daya saing ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan kemuncak sambutan itu pada 10 pagi esok.
Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan selama tiga hari hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga.
-- BERNAMA