PRN Sabah: Konvokesyen UMS tidak jejaskan proses pengundian - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira semua aspek secara menyeluruh sebelum membuat ketetapan, termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 3 Nov. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 pada 29 Nov ini tidak akan menjejaskan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada hari sama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Istiadat Konvokesyen UMS pada 29 Nov tidak menjejaskan proses pengundian PRN Sabah kerana persiapan telah diambil kira oleh SPR.
- Beliau turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO 2025 ditangguhkan ke Januari susulan tarikh PRN Sabah yang ditetapkan pada 29 Nov.
- PRN Sabah ke-17 menyaksikan penamaan calon pada 15 Nov, pengundian awal 25 Nov dan hari mengundi pada 29 Nov bagi 73 kerusi DUN.
"... mahasiswa UMS juga terdiri daripada pelajar seluruh Malaysia, dan saya tak nampak sebarang masalah timbul dalam hal ini," katanya ketika ditemui pemberita pada ASEAN Sports Industry Expo 2025 di sini hari ini.
Untuk rekod, majlis Konvokesyen UMS ke-27 bagi graduan 2025 dijadualkan berlangsung dari 29 Nov hingga 2 Dis.
Mengulas mengenai penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025, Ahmad Zahid berkata Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk memaklumkan perkara berkenaan bagi mendapat kelulusan berdasarkan perlembagaan dan peraturan UMNO.
"Ini kali kedua ditangguhkan yang sepatutnya pada bulan Ogos, kemudian pada 26 Nov, tetapi apabila PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov nanti, kita terpaksa pinda kepada bulan Januari tahun hadapan," katanya.
SPR menetapkan 15 Nov ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sabah, diikuti pengundian awal dan hari mengundi, masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
PRN Sabah ke-17 menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal dipertandingkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami