Ketua Pengakap Negara garis 10 keutamaan strategik pengakap Asia-Pasifik

Ketua Pengakap Negara Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin menggariskan 10 keutamaan strategik bagi memperkukuh hala tuju dan keberkesanan pergerakan pengakap di rantau ini untuk tempoh tiga tahun akan datang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pengakap Rantau Asia-Pasifik (APR) baharu Mej Jen Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin menggariskan 10 keutamaan strategik bagi memperkukuh hala tuju dan keberkesanan pergerakan pengakap di rantau ini untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Antara keutamaan itu ialah memperkasakan golongan muda, menginovasi pendidikan, memperkukuh kepelbagaian dan inklusiviti serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota pengakap.
Dr Mohd Zin yang juga Ketua Pengakap Negara turut menekankan kepentingan menghargai sukarelawan, memperkukuh tadbir urus, memperluas capaian, mengadaptasi transformasi digital, memajukan keamanan dan kelestarian serta memastikan pergerakan itu kekal relevan dan berpengaruh.
"Kepengakapan perlu menerajui perubahan, bukan sekadar bergerak selari dengannya. Kita mesti memastikan orang muda dipersiapkan untuk menghadapi dunia yang dibentuk oleh kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan cabaran global," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pengakap Asia-Pasifik ke-28 di Kaohsiung, Taiwan hari ini dan ucapan itu dikongsikan menerusi kenyataan Pengakap Malaysia kepada Bernama.
Kenyataan itu memaklumkan pelantikan Dr Mohd Zin sebagai Pengerusi Pengakap APR merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan Malaysia dalam memperkukuh kepimpinan pengakap pada peringkat antarabangsa.
Persidangan anjuran General Association of the Scouts of China itu menghimpunkan hampir 400 perwakilan dari 30 negara bagi membincangkan pencapaian dan hala tuju baharu pergerakan pengakap serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami