MANJUNG: Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, mengesyaki perbuatan khianat cuba membakar rumahnya di Ayer Tawar, awal pagi Rabu adalah berpunca daripada kenyataan yang dibuatnya pada 28 Disember lalu.

Dalam kenyataan itu, beliau mencadangkan agar bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang juga pakar Perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana menyeragamkan undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Penasihat DAP Perak itu berkata, sepanjang berkhidmat selama 38 tahun sebagai peguam dan 33 tahun sebagai wakil rakyat, beliau tidak pernah terlibat dengan mana-mana pertengkaran atau pertikaian kerana bertindak secara profesional.

Malangnya, kata Koo Ham, kenyataan yang dibuatkan pada 28 Disember lalu telah diputarbelitkan oleh beberapa pemimpin politik sehingga mendatangkan kemarahan dan kebencian terhadapnya, khususnya di kalangan orang Melayu dan Islam.

"Kerana mereka mengapi-apikan, menghasut orang untuk benci saya. Kalau kita tahu hakikat kebencian ialah keganasan.

"Itulah yang berlaku bagi saya, saya syaklah... kalau tidak kenapa orang nak bakar saya punya kereta, saya punya rumah, nak bakar kalau saya dalam rumah bagi saya mati dalam rumah, untuk bunuh saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas, di Ayer Tawar, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.55 pagi, sebuah kereta Mercedez Benz milik Ahli Parlimen itu musnah di samping turut menjejaskan sebuah Honda CRV dan Toyota Hilux dalam kebakaran di kediamannya di Lorong Semarak Jaya, Taman Semarak Jaya.

Koo Ham berkata, sebelum kejadian itu, beliau tidak pernah menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau bersedia memaafkan pelaku yang membuat khianat itu kerana mungkin mereka terpedaya dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Pada 28 Disember lalu, Ahli Parlimen Beruas itu antara lain mencadangkan agar pakar perlembagaan dari kalangan bukan Islam dilantik dalam jawatankuasa untuk mengkaji konflik antara Undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

Selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak, beliau kemudiannya meminta maaf dan menarik semula kenyataannya itu pada 30 Disember.