Ahli perniagaan, Datuk Tong Kooi Ong menafikan tuduhan terlibat dengan taruhan nilai ringgit sekali gus memanipulasi mata wang untuk mengaut keuntungan peribadi.

Tegasnya dalam satu kenyataan media, dakwaan beberapa blog yang menuduhnya mahu menjatuhkan nilai ringgit disifatkan tidak berasas sama sekali.

"Saya sedang mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab menulis di blog tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Jika benar saya terlibat dalam aktiviti spekulasi mata wang, Bank Negara Malaysia pasti menyedarinya dan sudah tentu menghubungi saya," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu semasa sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, kerajaan akan bertindak terhadap manipulator ringgit jika terdapat bukti terhadap dakwaan yang dibuat ke atas mereka.

Beberapa blog memetik sumber Bank Negara yang mendakwa Kooi Ong membuat "short position" (kedudukan singkat) berjumlah AS$1.4 bilion ke atas ringgit melalui proksi sejak Ogos tahun lepas hingga Januari tahun ini.

Dalam pada itu, kata Kooi Ong, dia turut menafikan tuduhan berkenaan selain menegaskan tidak pernah melakukan proses jangkaan kejatuhan ringgit.

"Saya tidak pernah sekali-kali melakukan 'short position' ke atas ringgit," tegasnya.

Short position atau kedudukan singkat bermaksud transaksi yang dilakukan pelabur apabila menjangkakan nilai ringgit akan jatuh.

Melalui 'short position', pedagang dan pelabur mata wang akan memperdagangkan ringgit kepada US dollar ketika nilai ringgit dijangka jatuh.

Mereka kemudiannya akan membeli balik ringgit pada nilai yang rendah ketika ia makin menyusut dan mengaut keuntungan yang tinggi.

Ujarnya lagi, kerjanya sebagai usahawan dan penganalisis ekuiti memberi banyak kelebihan dalam bidang pelaburan nilai.

"Saya memperoleh dan membina syarikat, mewujudkan nilai bagi pemegang saham dan mewujudkan pekerjaan melalui idea dan inovasi. Rekod saya boleh buktikan semua ini.

"Saya yakin Bank Negara akan sedar jika terjadi jenayah kejam seperti didakwa. Bank Negara tidak menghubungi saya dan saya jamin akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Bank Negara sekiranya bantuan saya diperlukan pada bila-bila masa," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, dia masih belum memastikan individu atau mana-mana pihak yang cuba menjatuhkannya dengan tuduhan tidak berasas berkenaan.

Kooi Ong turut mengakui mustahil untuk "memecahkan Bank Negara" atau "menghancurkan ringgit" kerana rizab pertukaran asing negara berjumlah lebih AS$110 bilion, sementara akaun semasa negara ini berada dalam lebihan.

"Pinjaman bukan ringgit sangat rendah. Saya pernah menyatakan hal ini dalam ucapan dan artikel saya.

"Hampir setiap mata wang di dunia jatuh berbanding dolar AS dan sebahagian sebabnya ialah pengukuhan ekonomi AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah.

"Di samping itu, banyak negara di rantau ini dan juga Eropah mengalami susut nilai bagi mata wang mereka dan menurunkan kadar faedah bagi menggalakkan pertumbuhan," katanya.

Ringgit jatuh ke tahap paling rendah sejak krisis kewangan 2008 di tengah-tengah suasana hutang negara yang tinggi dan harga minyak dunia yang rendah.