KUALA LUMPUR: Minat mendalam Tyler Wong Khai Zeng terhadap kopi mendorong pemuda itu untuk menjadi seorang barista selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira lapan tahun lepas.

Wong berkata, baginya kopi bukan sekadar minuman. Kopi ialah kanvas untuk beliau mempamerkan kemahiran dalam mencipta seni latte yang rumit namun indah.

Wong, 25, yang telah bertanding dalam lebih 10 pertandingan seni latte dalam dan luar negara, berkata perjalanannya menguasai seni latte sangat mengujakan, memerlukan kemahiran serta latihan berterusan.

"Corak rumit pada permukaan kopi dihasilkan daripada gabungan espreso, susu dan buih halus.

"Hasil kerja keras, saya kini boleh menghasilkan pelbagai seni latte termasuk tulip, mawar, ikan emas, muka kartun, potret haiwan, unikorn dan banyak lagi," katanya kepada Bernama selepas acara Previu Pertunjukan dan Pameran Level Up Coffee (LUC) baru-baru ini.



Wong merupakan antara 140 peserta dari lapan negara yang akan berentap dalam pertandingan Level Up Coffee (LUC) di Quill City Mall bermula 3 hingga 5 Mei ini.

Pengasas LUC, Leslie Kwan Lik Peng berkata, pertandingan itu akan membabitkan tiga pertandingan marquee iaitu Level Up Wing Tulip Latte Art Battle, Level Up Creative Beverage Battle dan Level Up Brewer Battle, yang direka untuk menonjolkan kreativiti dan kepakaran barista pada peringkat global.

Beliau berkata, LUC telah memperkenalkan sistem ranking barista profesional pertama di dunia di Malaysia yang menggunakan teknologi termoden untuk mengesan penyertaan pertandingan.

"Selepas menghabiskan lebih dua tahun bekerjasama dengan pakar industri dan peminat kopi, kami mencipta sistem ranking yang telus, saksama dan inklusif.

"Dengan ranking LUC ini, kami harap akan memangkin evolusi industri kopi dengan menyediakan pengiktirafan yang tinggi dan peluang memajukan kerjaya untuk profesional kopi," katanya.



Sementara itu, Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Andre Lai yang turut hadir pada majlis itu berkata, Malaysia mempunyai ramai barista berbakat, yang kebanyakannya telah menerima pengiktirafan dalam pertandingan antarabangsa.

"Dengan inisiatif seperti sistem ranking dirintis LUC ini dan usaha gigih untuk meningkatkan status kopi istimewa di peringkat domestik dan antarabangsa, masa depan kelihatan cerah bagi profesional kopi Malaysia untuk meraih pencapaian baharu lebih tinggi di pentas antarabangsa," katanya. - BERNAMA