Pihak Bomba dan Penyelamat masih lagi menggerakkan unit mencari dan menyelamat dalam operasi mencari seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa lemas pertama di Sungai Perak.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Penolong Penguasa Bomba Ismail Yunus berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu sekitar 12.33 tengahari.

Menurutnya, setakat jam 8 malam tadi status mengenai mangsa lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai lemas di Kampung Ekor Lambat itu masih belum diketahui.

“Seorang mangsa yang merupakan lelaki berusia 22 tahun dipercayai telah lemas di sungai ketika mandi bersama rakan di kawasan tersebut.

“Buat masa ini, pihak BBP Parit melaksanakan operasi pencarian pada jarak 1.5 kilometer di Sungai Perak dan kedalaman sungai pada masa ini adalah 4 meter,”katanya kepada pemberita.

Menurut Ismail, operasi SAR ditangguhkan sekitar pukul 7.15 malam dan operasi pemantauan dilakukan secara berkala dilakukan setiap dua jam.

Katanya,sebanyak lima buah bot digunakan bagi kekuatan logistik dan seramai 29 orang termasuk PDRM, Bomba, Rela dan pihak perubatan terlibat dalam operasi berkenaan.