Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang lelaki yang pulang ke Banting, Selangor dari Macau, China positif novel koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Isnin berkata lelaki berkenaan yang pulang ke Malaysia pada 1 Februari lalu berasa tidak sihat dan batuk sebelum mendapatkan rawatan di klinik.

“Lelaki itu pada 7 Februari turut mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan sebelum dirujuk di Hospital Banting dan setelah disaring dan disiasat, dia dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi.

"Lelaki berkenaan seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh,” kata kenyataan itu.

BACA: Isu koronavirus: 'Malaysia selamat dikunjungi' - Muhammad Bakhtiar

BACA: Pakar antarabangsa WHO ke China, bantu siasatan koronavirus

BACA: Koronavirus: Angka kematian meningkat kepada 907


Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut dan sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari sebelum lelaki berkenaan disahkan positif novel koronavirus.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah pun dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya dan menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang.

Sehingga semalam, angka keseluruhan jangkitan koronavirus dalam negara berjumlah 17 kes.

Ia membabitkan tujuh kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Kes terbaharu ini menjadikan jumlah jangkitan dalam negara sebanyak 18 kes.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi hotline CPRC Kebangsaan di talian 03-8881 0200, 03-8881 0600 atau 03-8881 0700.