Pelancong yang memasuki Port Dickson melalui perkhidmatan kapal persiaran akan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan novel koronavirus 2019.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihak seperti Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Jabatan Laut, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelancongan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah bersedia untuk melaksanakan langkah itu.

"Pada bulan ini kita ada cruise (yang akan berlabuh di Port Dickson) dan kita bersedia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Aminuddin berkata beliau dimaklumkan bahawa bahawa bilangan pelancong China juga kurang dalam kapal persiaran itu.

Mengulas lanjut, menteri besar itu berkata beliau dimaklumkan terdapat beberapa buah kapal persiaran yang dijangka berlabuh di Port Dickson iaitu pada 20 dan 27 Feb dan pada 5, 12 dan 26 Mac.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor bersedia mengaktifkan pusat kuarantin atau pusat isolasi di negeri berkenaan bagi membendung penularan jangkitan virus itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan pusat kuarantin itu telah dibincangkan sejak awal penularan virus terbabit di luar negara, memandangkan Selangor merupakan pintu masuk utama pelancong antarabangsa termasuk dari China ke negara ini.

"Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa tempat yang sesuai dijadikan pusat kuarantin dan kita bersedia membukanya pada bila-bila masa sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pimpinan serta usahawan anjuran Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia di Shah Alam.

Beliau mengulas mengenai situasi koronavirus di Selangor di sebalik pengesahan bahawa rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti virus itu ialah seorang lelaki dari negeri berkenaan.

Lelaki itu dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura dari 16 hingga 23 Jan 2020, bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri oleh delegasi antarabangsa termasuk dari China.

-- BERNAMA