KUALA LUMPUR: Harga lantai baharu bagi mengerjakan ibadah umrah untuk 12 hari 10 malam kini ditetapkan sebanyak RM6,900.

Kenaikan itu menandangkan terdapat peningkatan kos susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), sama ada di pihak Arab Saudi atau kerajaan Malaysia.

Perkara itu diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi satu kenyataan hari ini.

Kali terakhir penetapan harga lantai atau kos minimum dibuat ialah pada 2016, iaitu pada paras harga RM4,900.

"Antara faktor-faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian swab COVID-19.

"Harga lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal, yang mana kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi," menurut MOTAC dalam kenyataan tersebut.

BACA: Solat dengan kapasiti penuh di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula Ahad

BACA: Selepas Masjid Nabawi, air zamzam kini disediakan di Masjidil Haram

Tambah MOTAC, harga itu juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah.

Ia juga boleh dijadikan panduan oleh orang ramai dalam membuat pertimbangan bagi memilih syarikat pengendali umrah yang sesuai dengan bajet mereka.

"Orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati jika didapati harga yang ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang telah ditetapkan bagi mengelak kes-kes penipuan pakej umrah," kata MOTAC.
 

Justeru, orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi MOTAC bagi mengenal pasti syarikat-syarikat yang telah dilesenkan.

Ketika ini, terdapat 444 buah syarikat pengendali umrah yang berlesen di bawah MOTAC.

Perdana Menteri Malaysia pada 15 Okt lalu mengumumkan kebenaran bagi pergerakan Keluarga Malaysia ke luar negara untuk mengerjakan umrah bermula 18 Okt (esok).

Ia setelah selama dua tahun ibadah umrah tidak dapat dilakukan akibat penutupan sempadan negara dan larangan oleh negara Arab Saudi untuk mengerjakan haji dan umrah kepada semua negara.