MALAYSIA
Kos sara hidup: Kerajaan perlu imbangi pertumbuhan dan kesejahteraan – Penganalisis

Kerajaan kini berdepan dilema antara merangsang pertumbuhan ekonomi atau meningkatkan kesejahteraan isi rumah. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Isu kesejahteraan rakyat dan tekanan kos sara hidup bukan sahaja membelenggu Malaysia, malah turut menjadi kebimbangan utama mana-mana negara di seluruh dunia.
Profesor Adjung Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, data menunjukkan wujud jurang besar antara pendapatan median dan perbelanjaan asas, menjadikan kebajikan rakyat isu yang sangat kritikal.
“Kalau kita lihat dari segi gaji median dan perbelanjaan asas, jelas bahawa ramai rakyat berdepan tekanan ekonomi harian. Isu kesejahteraan ini memang penting, dan hampir semua negara di dunia hari ini mengambil langkah sama, iaitu memberi bantuan langsung kepada rakyat untuk mengelakkan kemerosotan kebajikan dan kesihatan mereka,” katanya.
Biarpun bantuan yang diberikan di Malaysia mungkin tidak setanding negara lain seperti Singapura, beliau menegaskan, rakyat harus memahami keterbatasan kemampuan fiskal kerajaan.“Kita bukan tidak bersyukur. Kita faham ini adalah apa yang termampu oleh kerajaan sekarang. Masalah struktur ekonomi negara agak kompleks, dan sebarang pembaharuan mesti dilakukan secara berhati-hati,” katanya sambil mengakui bahawa kebanyakan pembaharuan ekonomi lazimnya tidak popular dari segi politik.
Tambah beliau, dalam usaha memperkukuh ekonomi dan menstabilkan kedudukan fiskal negara, kerajaan kini berdepan dilema antara merangsang pertumbuhan ekonomi atau meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
“Subsidi masih diberikan, termasuklah subsidi petrol RON95 yang pelarasannya ditangguhkan buat sementara. Kita jangka akan ada pengumuman semula berkaitan subsidi pada September nanti. Dan ketika itu mungkin baru kita tahu kedudukan sebenar fiskal negara,” jelasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerajaan untuk mengimbangi keutamaan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat. “Setakat ini, pertumbuhan ekonomi menunjukkan prestasi yang baik. Tapi dari segi kebajikan rakyat seperti pendapatan, kos makanan, tekanan hidup, ia masih belum memuaskan.
“Cabaran utama kerajaan sekarang adalah bagaimana untuk memacu pertumbuhan tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu telah membuat pengumuman mengenai beberapa jenis bantuan kepada rakyat Malaysia, antaranya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara one-off kepada semua rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas, serta harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami