IPOH: Hospital di Perak tidak mengenakan sebarang bayaran untuk kos pengurusan jenazah bagi pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dipertanggungjawabkan mengurus jenazah beragama Islam, manakala yang bukan Islam diuruskan konsortium.

''Selepas proses keluar daripada hospital kita tidak tahu samada waris berkemungkinan ada mengambil van daripada mana-mana syarikat untuk perkhidmatan.

''Tetapi yang pasti, di Perak pihak hospital memang tidak mengenakan sebarang bayaran untuk menguruskan bagi jenazah pesakit COVID-19,'' katanya di sini pada Rabu.


Pengurusan Jenazah | Caj tayamum jenazah COVID-19 tidak masuk akal

Tambah Mohd Akmal, waris kepada pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 boleh membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan khas sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam pada itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin memberitahu, pihaknya turut tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas waris bagi pengurusan jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19.

''JAIPk memang tidak mengenakan sebarang bayaran, namun segala bayaran (jika ada) ianya diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan tanah perkuburan,'' jelas beliau.

BACA: Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

BACA: "RM1,400 sangat mahal" - Waris mangsa COVID-19 kesal kos tayamum membebankan

Astro AWANI sebelum ini menyiarkan laporan waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di beberapa hospital di Kelantan dikenakan bayaran antara RM1,300 sehingga RM1,800 bagi urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum dan mengkafankan jenazah. 

Caj berkenaan dianggap melampau kerana tidak termasuk bayaran keranda, solat jenazah, liang lahad dan pengurusan lain.