MALAYSIA
Kota MADANI di Presint 19 bukan 'Putrajaya kedua'

Datuk Fadlun Mak Ujud berkata projek itu kesinambungan kepada pelaksanaan perancangan Putrajaya, yang telah digariskan sejak awal membabitkan pembahagian kawasan kepada 20 Presint utama meliputi keluasan keseluruhan 4,931 hektar. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Projek pembangunan Kota MADANI yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok bukan 'Putrajaya kedua' seperti yang didakwa beberapa pihak, sebaliknya ia sebahagian daripada pelan induk pembangunan Putrajaya sedia ada.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud berkata projek itu kesinambungan kepada pelaksanaan perancangan Putrajaya, yang telah digariskan sejak awal membabitkan pembahagian kawasan kepada 20 Presint utama meliputi keluasan keseluruhan 4,931 hektar.
"Kita tekankan bahawa pembangunan Kota MADANI ini adalah di Presint 19 dan ia terletak dalam keseluruhan 4,931 hektar Putrajaya. Cuma konteks pembangunan di Presint 19 iaitu Kota MADANI ini adalah ia berbentuk pembangunan padat.
"Untuk konteks Presint 19 ini, kita namakannya sebagai Kota MADANI. Ada juga pihak pemaju menggunakan nama lain untuk tujuan pemasaran tapi Kota MADANI terletak di Presint 19 Putrajaya. Itu perlu dijelaskan dan ia bukan satu lagi Putrajaya," katanya kepada Bernama dan RTM di sini hari ini.Dengan keluasan 41.28 hektar, Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk. Pembangunan itu turut dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital cekap dan sistem mobiliti hijau.
Fasa pertama pembangunan dijangka bermula September ini, melibatkan pembinaan 3,000 unit kediaman serta sebuah sekolah menegak yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2027.
Mengulas mengenai pembangunan padat berkenaan, beliau berkata konsep itu membolehkan pelbagai kemudahan seperti kediaman, sekolah, ruang komersial dan kemudahan awam dirancang dalam satu kawasan yang berdekatan, sekali gus mengurangkan keperluan perjalanan jauh.
"... begitu juga kalau kita tengok macam sekolah kita rancang (di Kota MADANI), sekolah vertikal (sekolah menegak) berbanding dengan Presint lain, pembangunannya bentuk mendatar iaitu horizontal.
"Jadi, kalau anak-anak pergi sekolah dalam jarak yang agak jauh, ibu bapa perlu hantar anak ke sekolah pagi, tengah hari dan mengambil mereka pada petang (sebagai contoh). Di Kota MADANI, kita rancang satu pembangunan di atasnya kediaman, di bawahnya sekolah," kata Fadlun.
Beliau menjelaskan konsep sekolah vertikal itu adalah konsep pertama kali dilaksanakan di Putrajaya, termasuk dalam Malaysia yang diyakini dapat membantu meningkatkan keselamatan kanak-kanak.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut mengakui pembangunan Kota MADANI bukan bertujuan menggantikan Putrajaya, sebaliknya hanya sebahagian kecil daripada bandar pentadbiran.
Beliau ketika menjawab kekeliruan dan tanggapan negatif dibangkitkan segelintir rakyat di platform media sosialnya hari ini berkata projek pembangunan itu melibatkan 0.8 peratus daripada keseluruhan keluasan Putrajaya.
"Sejak pengumuman awal tempoh hari, saya perhatikan banyak persoalan dan salah tanggapan timbul. Jadi, saya nak betulkan sedikit dengan fakta sebenar.
"Pembangunan projek ini dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta oleh Putrajaya Holdings menggunakan konsep konsesi bina-pajak-senggara-pindah (BLMT), dengan kos pembangunan RM4 bilion yang ditanggung sepenuhnya oleh pemaju," katanya bagi mengulas tanggapan sesetengah pihak projek itu membazirkan dana awam.
Dr Zaliha berkata pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan dan selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan menjadi milik kerajaan.
Beliau berkata pembangunan Kota MADANI juga adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE iaitu bandar yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami