JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Johor telah mengenal pasti dan akan mengenakan tindakan terhadap premis yang didakwa menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing, seperti yang tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo, berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan dan menjalankan siasatan terhadap premis yang mempunyai lesen borong Akta Kawalan Bekalan (CSA) itu, semalam.

"Tindakan berhubung kes ini akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal mematuhi Peraturan 13 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Justeru, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan tiada unsur ketirisan atau pun penyelewengan terutamanya melibatkan bekalan barangan kawalan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lilis Saslinda berkata kementerian itu telah mengambil tindakan proaktif dan membuat pemantauan terhadap bekalan barang keperluan asas dengan tertumpu kepada semua peringkat rantaian pengedaran melibatkan pengilang, pemborong serta peruncit, bagi menjamin tiada penyelewengan yang boleh menjejaskan bekalan di pasaran.

"Secara keseluruhannya, hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati bekalan barang-barang keperluan adalah mencukupi dan mudah diperolehi.

"Kita tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat, " tegasnya.

Orang ramai juga diminta untuk menyalurkan maklumat berhubung sebarang pelakuan yang mencurigakan melibatkan barang bersubsidi kerajaan kepada pihak kementerian," katanya.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi lebih tiga minit memaparkan mengenai warga asing yang dipercayai menjual minyak masak peket bersubsidi satu kilogram di bandar raya ini.

-- BERNAMA