KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji pelaksanaan konsep Right to Repair (hak untuk membaiki) bagi memperkasa pengguna memperoleh akses maklumat teknikal kenderaan daripada syarikat pengeluar.
Timbalan Menterinya, Datuk Fuziah Salleh berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar memberi kebebasan kepada pemilik kenderaan memilih bengkel keutamaan mereka, malah menjamin kemudahan akses kepada maklumat teknikal yang diperlukan.
“Kalau dalam tempoh waranti, memang kita galakkan untuk pergi ke bengkel pengedar yang sah kerana sekiranya tidak, maka waranti itu menjadi tidak sah. Namun selepas tempoh waranti, pengguna ada pilihan untuk memilih bengkel-bengkel lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan mengenai cadangan kerajaan memperkenalkan rangka kerja Right to Repair bagi membolehkan bengkel tempatan mengakses maklumat teknikal, alat ganti dan peralatan diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan.
"Ketika ini, negara kita belum ada punca kuasa untuk mendapatkan akses kepada maklumat tersebut. Namun, perkara ini sedang dipertimbangkan dalam konteks hak pengguna," katanya.
Fuziah berkata kementerian beranggapan sudah sampai masanya satu penelitian menyeluruh dilaksanakan untuk menilai keperluan mewujudkan perundangan khusus Right to Repair, termasuk potensi pengenalan peraturan baharu di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 demi mengimbangi hak pengguna dan hak harta intelek pengeluar.
“Harus kita seimbangkan antara hak pengeluar dan pengguna untuk mendapatkan akses kepada maklumat yang boleh diakses terhadap kenderaan milik kita. Jadi itu adalah langkah ke hadapan kerana ketika ini tidak ada dalam kerangka perundangan tapi sedang dalam kajian oleh pihak kementerian," katanya.
Fuziah berkata pihak kementerian juga bakal menjalankan kajian penanda aras terhadap model Right to Repair yang dilaksanakan di Eropah, United Kingdom, Kanada, Australia dan Amerika Syarikat bagi mengenal pasti amalan terbaik berdasarkan kerangka undang-undang, kematangan pengguna dan ekosistem industri masing-masing.
Katanya langkah itu bagi memastikan sebarang pendekatan bakal diguna pakai di Malaysia berupaya meningkatkan daya saing industri bengkel tempatan melalui perkongsian maklumat teknikal, tanpa membelakangkan faktor keselamatan, hak harta intelek serta kepentingan seluruh pihak terlibat.
-- BERNAMA