KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan menyelamatkan sejumlah 2,467.79 kilogram (kg) makanan dan minuman dari beberapa Bazar Ramadan Rahmah menerusi Program MySaveFood@Ramadan 2024.

Pengarahnya Azman Ismail berkata antara Bazar Ramadan Rahmah iaitu di Mydin Hypermall Tunjong, Bazar Ramadan Pantai Irama di Bachok, Bazar Ramadan Kubang Kerian dan Bazar Ramadan Pengkalan Chepa, di sini.

Beliau berkata sebagai rekod pencapaian pelaksanaan Projek MySaveFood pada 14 hingga 28 Mac lepas, sukarelawan dapat mengumpulkan makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan.

"Jumlah kutipan keseluruhan kutipan sepanjang program MySaveFood@Ramadan yang dilaksanakan selama tujuh hari di tiga bazar Ramadan terpilih seperti Bazar Pantai Irama sebanyak 1,066.20 kg, Bazar Pengkalan Chepa 524.57 kg dan Bazar Kubang Kerian 877.02 kg," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah dan Program MySaveFood@Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Tunjong, di sini, semalam.

Azman berkata antara makanan dikumpulkan sukarelawan termasuk nasi berlauk, kuih-muih, mi goreng dan berkuah, lauk bergoreng dan bakar, makanan barat, pencuci mulut serta minuman.

"Makanan yang terkumpul diagihkan kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT), gelandangan dan golongan memerlukan.

"Inisiatif julung kali ini melibatkan pengurusan lebihan makanan 'Food Waste Management' di bazar Ramadan yang digerakkan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia yang berkolaborasi bersama KPDN dan Gerakan Pengguna Siswa Kelantan," katanya.

Menurutnya, makanan itu diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk penduduk sekitar seperti golongan asnaf, rumah-rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan penuntut IPT yang menginap di asrama.

Beliau berkata program itu dilaksanakan menerusi kerjasama IPT iaitu Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan dibantu sukarelawan GEMA Kelantan mengikut jadual.

-- BERNAMA