Penganggur didakwa bunuh isteri

Khairul Rizuan tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada jam 8.50 pagi dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan diiringi anggota polis. - Foto Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Seorang pengganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian di Flat Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang, awal bulan ini.
Ringkasan AI
- Seorang pengganggur didakwa membunuh isterinya di Flat Tuna, Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 8 Disember lalu, dengan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara sehingga 40 tahun.
- Tertuduh, Khairul Rizuan Abdullah, tidak diwakili peguam dan tidak diberikan ikat jamin semasa prosiding di Mahkamah Majistret, dengan tarikh serahan laporan kimia dan bedah siasat ditetapkan pada 10 Februari tahun depan.
- Media melaporkan suspek telah menyimpan mayat isteri selama empat hari sebelum mengaku di balai polis, di mana siasatan mendapati motif pembunuhan adalah cemburu, dengan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Wan Khairul Safinah Ishak, 44 tahun, di Flat Tuna, Jalan Tuna, Seberang Jaya, kira-kira jam 4 petang, pada 8 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman gantung, sekiranya disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Anis Suhada tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan ia adalah jenayah bunuh.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Februari tahun depan sebagai tarikh serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Terdahulu, tertuduh yang memakai baju berwarna kelabu kelihatan tenang sebaik tiba di mahkamah pada jam 8.50 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda dan diiringi anggota polis.
Pada 11 Disember lepas, media melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh isterinya dan menyimpan mayat wanita itu selama empat hari sebelum tampil ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan kejadian itu.
Suspek telah hadir sendiri ke balai polis dan mengaku berlaku kematian di rumah mereka di tingkat dua pangsapuri berkenaan.
Pemeriksaan polis kemudian membawa kepada penemuan mayat wanita itu di dalam bilik belakang rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam.
Suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Difahamkan mangsa berkahwin dengan suspek sejak dua tahun lalu dan ia adalah perkahwinan kali ketiganya
Siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana bermotifkan cemburu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


