KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyita kira-kira 34,871 liter minyak diesel bernilai lebih RM74,900 di sebuah premis perniagaan di Kuala Krai, semalam.

Pengarahnya Azman Ismail berkata rampasan itu dilakukan melalui Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Beliau berkata maklumat pasukan risikan mendapati premis perniagaan itu dijadikan stor simpanan barang kawalan disyaki untuk dijual kepada industri, perladangan dan pertanian.

"Kita mendapati suspek membuat pengisian minyak diesel berulang kali menggunakan lori penggerak utama di stesen-stesen minyak sekitar Kuala Krai, kemudian dikumpulkan sebelum dijual dengan harga tinggi.

"Seorang lelaki berusia 60 tahun merupakan pemilik premis itu ditahan untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua barang kawalan yang diisi dalam tong jerikin dijumpai bersama dua buah semi treler tangki di premis perniagaan berkenaan dengan nilai kenderaan disita berjumlah lebih RM154,972.

-- BERNAMA