GEORGE TOWN: Sebanyak 17,920 buah premis telah diperiksa sejak 23 Mac hingga semalam di seluruh negara, dalam pelaksanaan Op Pantau 2023 oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 92 kes telah dikesan atas pelbagai kesalahan, dengan nilai kompaun yang dikenakan sebanyak RM11,400.

"Ops Pantau ini dijalankan, bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 17,920 premis dan lebih 6,000 bazar Ramadan di seluruh negara, telah diperiksa oleh pihak KPDN, kami terima 283 aduan membabitkan pelbagai perkara.

"Manakala bagi 93 kes kompaun itu, ia membabitkan pelbagai kesalahan antaranya harga mahal, tanda harga dan penimbang tidak tepat. Semua premis ini kami semak daripada segi pematuhan undang-undang yang terpakai," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dan Program Inisiatif Pengdigitilan Sektor Peruncitan (REDI) peringkat Pulau Pinang, di Bazar Ramadan Bayan Baru, dekat sini.

Op Pantau 2023 dilaksanakan secara seragam dan berfokus bermula 23 Mac sehingga 21 April, dengan tumpuan operasi seperti di bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti jualan dalam talian.

Pemeriksaan memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara, antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan atau cetak rompak, dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2023.

Sementara itu, Fuziah berkata sehingga kini sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara, termasuk dua lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pulau Pinang, dalam menyantuni rakyat di sekitar Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini.

Beliau berkata antara kriteria BRR ialah sebahagian peniaga menawarkan Menu Rahmah, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan mengalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniagaan, berdasarkan lokaliti dan inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan, tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan.

"Selain itu, kami turut mengagihkan pemberian insentif RM20 kepada 1,000 pengunjung terawal, menerusi platform e-dompet dan sehingga hari ini seramai 4,000 orang di empat BRR telah menerima insentif tersebut.

"Kami memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk 96,000 pengunjung yang datang bazar Ramadan di seluruh negara, dalam usaha kita menggalakkan orang ramai berbelanja," katanya.

-- BERNAMA