NATIONAL
KPDN perjelas isu LPG Bersubsidi

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (gambar) memberi penjelasan berhubung isu subsidi dan penyelewengan tong LPG. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sejak 1 Mei lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan OPS GASAK bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan tong Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi namun timbul persoalan tentang penarikan subsidi tong LPG.
Sehubungan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memberi penjelasan berhubung isu tersebut dalam kenyataan berikut:
- Adakah Kerajaan sedang melaksanakan pemansuhan subsidi tong Gas Petroleum Cecair (LPG) sebagaimana dakwaan pihak tertentu?
KITA GEMPUR adalah satu gerakan massa untuk menangani isu ketirisan barang kawalan dan manipulasi dalam aktiviti perniagaan. Punca kuasa perundangan kepada OPS GASAK adalah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
- Bagaimana OPS GASAK boleh menyebabkan timbul isu pemansuhan subsidi dan dakwaan kenaikan harga barangan tertentu?
Decanting adalah pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi dan dijual pada pelbagai peringkat harga, iaitu di antara harga subsidi dan di bawah harga pasaran komersial. Kumpulan penyangak subsidi ini mendapat keuntungan atas angin yang amat besar kerana strategi penjualan pada harga yang sedikit rendah daripada harga komersial ini telah menjadi faktor penarik sama ada untuk jualan domestik dan penyeludupan ke luar negara.
Pada masa sama, para pegawai penguat kuasa KPDN juga melaksanakan pemeriksaan rutin di pelbagai peringkat premis perniagaan untuk melihat pematuhan kepada semua kerangka perundangan di bawah bidang kuasa KPDN. Ini termasuk aspek berkaitan paparan harga, ketepatan timbang sukat, aktiviti sorok dan permit barang kawalan berjadual.
Keperluan permit barang kawalan berjadual adalah bersandarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Terkait dengan LPG, Peraturan 2021 itu menggariskan bahawa penyimpanan dan penggunaan tong LPG melebihi 42 kilogram iaitu melebihi 3 tong 14 kilogram pada satu-satu masa memerlukan kepada permit barang kawalan.
Atas sebab itu, dalam pemeriksaan rutin yang dilaksanakan dan sejajar dengan OPS GASAK, pegawai penguat kuasa KPDN akan mengeluarkan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis kepada mana-mana pihak yang didapati menyimpan dan menggunakan melebihi 3 tong LPG iaitu melebihi 42 kilogram. Inilah yang menyebabkan terdapat tanggapan bahawa Kerajaan hari ini melaksanakan dasar baharu pemotongan subsidi, sedangkan Peraturan ini telahpun berkuat kuasa sejak 2021.
- Ini bermaksud penguatkuasaan melalui OPS GASAK juga mengekang penggunaan LPG bersubsidi di premis perniagaan termasuk restoran?
Kedua, tidak ada isu pemansuhan atau pemotongan subsidi LPG di bawah Kerajaan hari ini kerana subsidi ini akan terus dapat dinikmati oleh golongan sasar iaitu pengguna kerana ini adalah subsidi dapur rumah rakyat bukan subsidi sektor komersial.
Ketiga, mana-mana pihak yang tidak menggunakan silinder LPG melebihi 3 tong 14 kilogram iaitu melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa tidak perlu khuatir kerana mereka tidak tertakluk kepada peraturan untuk memohon permit barangan kawalan berjadual.
Sehubungan itu, bersandarkan kepada Peraturan 2021 tersebut, premis jualan makanan yang tidak menyimpan atau menggunakan tong LPG bersubsidi tidak melebih 3 tong pada satu-satu masa tidak diwajibkan memiliki permit barang kawalan berjadual.
- Apakah bentuk tindakan yang diambil kepada peniaga restoran yang tertakluk kepada Peraturan 2021 tersebut tetapi tidak memiliki permit barang kawalan berjadual?
Ada kekeliruan berhubung dokumen yang diserahkan oleh para penguat kuasa kita kepada premis perniagaan jualan makanan. Ia adalah dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis dan bukan notis kompaun dan tidak ada sebarang sitaan dibuat. Ia adalah dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan.
- Bagaimana dengan kekhuatiran sesetengah pihak berhubung kesan kenaikan harga makanan sekiranya restoran yang menggunakan lebih daripada 3 tong LPG sudah tidak boleh menggunakan tong bersubsidi?
Begitu juga, adakah kita ingin biarkan kos LPG bagi semua jenis premis jualan makanan disubsidikan, tanpa mengira perniagaan berskala kecil, sederhana atau besar.
Kita tidak menolak risiko akan ada premis makanan yang menaikkan harga atas alasan peningkatan kos operasi perniagaan. Kita prihatin kesannya kepada kos sara hidup rakyat namun kita juga perlu faham subsidi ini juga datangnya daripada duit rakyat iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai.
Maka adakah wajar untuk kita memberikan subsidi LPG secara pukal kepada semua jenis premis jualan makanan, kecil atau besar, dan tanpa sebarang had. Adakah wajar kita memberikan subsidi LPG tanpa had kepada restoran yang menjual nasi ayam pada harga RM25 sepinggan, sedangkan ada premis yang boleh menjual pada harga RM15, RM10 dan ada juga yang masih menjual pada harga RM8.
Kita berikan subsidi pukal tanpa had kepada semua dengan bersandarkan alasan kos sara hidup rakyat, sedangkan ada restoran yang menikmati subsidi ini menjual makanan pada kadar harga di luar kemampuan rakyat. Subsidi diberikan kepada restoran yang menjual mi goreng pada harga RM20 sedangkan ada restoran yang menjual mi goreng pada harga RM8.
Bidang kuasa pengurusan fiskal di bawah kementerian lain, namun saya khuatir sama ada ruang fiskal Kerajaan berupaya untuk menanggung subsidi LPG ini tanpa sebarang had kerana jumlah premis jualan makanan akan semakin meningkat dan bukannya berkurangan. Perlu diingat subsidi LPG ini adalah subsidi kepenggunaan iaitu subsidi dapur rumah rakyat dan bukannya subsidi perniagaan atau komersial.
- Berapakah jumlah implikasi kewangan Kerajaan untuk subsidi LPG?
TAHUN | NILAI SUBSIDI LPG (RM BILION) |
2013 | 2.20 |
2018 | 2.39 |
2021 | 2.54 |
2022 | 4.00 |
2023 | 3.01 |
2024 | 3.40 |
Tanpa sebarang kawalan, jumlah ini akan terus meningkat. Ini kerana bukan sahaja jumlah penggunaan domestik akan semakin meningkat kerana rakyat kita semakin ramai, malah jumlah premis perniagaan termasuk restoran, gerai makan dan jumlah penjaja juga turut meningkat.
Selanjutnya, perlu difahami juga tanggungan subsidi LPG Kerajaan ini tidak berbentuk fixed-cost kerana LPG merupakan bahan api yang bersandarkan kepada harga pasaran dunia ataupun Saudi Aramco Contract. Harga pasaran dunia ini terdedah kepada fluctuation berdasarkan supply and demand selain faktor keadaan geopolitik.
Pengurusan fiskal negara bukan teras kefungsian KPDN. Sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap kos sara hidup, bagi saya subsidi kepenggunaan memang perlu dikekalkan. Tidak ada isu tentang perkara tersebut.
Namun reformasi subsidi ini perlu dilaksanakan. Selain penguatkuasaan, strategi subsidi perlu dilaksanakan secara bersasar dan bukan secara pukal dan tanpa had. Saya lebih cenderung strategi menangani isu kos sara hidup dilaksana melalui strategi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat termasuk bantuan tunai dan bantuan langsung pembelian barang.
Saya bersyukur kerana inilah antara strategi dan pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI. Sebagai contoh, bantuan tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rakyat (STR) dan Sumbangan Asas Rakyat (SARA) telah ditingkatkan pada kadar RM13 bilion pada tahun 2025. Ini jauh lebih tinggi berbanding peruntukan bantuan tunai rakyat pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM2.6 bilion yang kemudiannya ditingkatkan kepada RM6.1 bilion pada tahun 2018 dan RM10 bilion bagi tahun 2020.
Selain itu, Kerajaan MADANI juga telah melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam dengan peruntukan tambahan RM10 bilion bagi tahun 2025. Diunjurkan peruntukan tambahan ini mencecah RM18 bilion bagi tahun 2026. Semua ini boleh dilakukan apabila Kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mampan melalui reformasi struktur ekonomi negara termasuk penambahbaikan terhadap strategi dan mekanisme penyaluran subsidi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami