MALAYSIA
KPDN peruntuk lebih RM3.3 juta, ringankan beban masyarakat pedalaman

Azman (dua, kiri) bersama ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim (dua, kanan) melihat demonstrasi pam petrol manual daripada Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar sempena Program Pengedaran Barang Perlu di Pos Brooke hari ini. - Gambar Bernama
GUA MUSANG: Kerajaan memperuntukkan lebih RM3.3 juta untuk melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu di kawasan sekitar Pos Brooke dan Kuala Betis dalam tempoh tiga tahun bermula pada 2025.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata program itu bertujuan memastikan pengguna di kawasan luar bandar memperoleh barangan asas pada harga yang diselaraskan dengan harga di kawasan bandar.
Beliau berkata program yang diadakan hingga 2027 itu memfokuskan kepada enam barangan utama, iaitu beras putih, gula putih, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan petrol RON95.
"Program ini dijangka memberikan manfaat besar kepada lebih 9,000 penduduk luar bandar di Pos Brooke dan Kuala Betis, sekali gus mengurangkan jurang perbezaan harga barangan asas antara kawasan bandar dengan pedalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Pengedaran Barang Perlu di Pos Brooke, di sini hari ini.Azman berkata kerajaan turut menanggung sepenuhnya kos pengangkutan bagi keenam-enam jenis barangan yang menjadi keperluan asas penduduk pedalaman melalui program berkenaan.
"Perkhidmatan pengangkutan dilaksanakan oleh syarikat pengangkut yang dilantik dan bertanggungjawab membawa barangan daripada pusat sumber bekalan ke pusat penjualan di kawasan pedalaman.
"Anggaran kos kontrak bagi pelaksanaan program ini sepanjang tempoh tiga tahun adalah lebih RM1,185,409 di Kuala Betis dan lebih RM2,187,840 di Pos Brooke," katanya sambil menambah KPDN akan terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan program ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami