MALAYSIA
KPDN rampas barangan bernilai lebih RM224,000 di Labuan

Junaidah Arbain (kanan) bersama anggota penguatkuasa KPDN menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan Ops Kesan 4.0 di salah sebuah pasaraya hari ini. - Gambar Bernama
LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas barangan bernilai RM224,718.51 hasil pelaksanaan tindakan penguatkuasaan intensif di pulau bebas cukai ini sejak Januari lalu.
Sepanjang tempoh itu, KPDN Labuan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 9,356 premis perniagaan di seluruh pulau, dengan 96 kes pelbagai kesalahan direkodkan di bawah lima akta berbeza.
Pengarah KPDN Labuan Junaidah Arbain berkata kesalahan paling kerap dikesan melibatkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan 49 kes, diikuti 31 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
"Selain itu, lapan kes direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, lima di bawah Akta Perihal Dagangan, dan tiga lagi di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya kepada Bernama hari ini.Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM72,500, manakala mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM93,500 bagi kes yang dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, Junaidah berkata pihaknya turut menerima dan menyelesaikan kesemua 77 aduan pengguna yang dikemukakan sepanjang tempoh tersebut.
Katanya daripada jumlah itu, isu harga menjadi aduan tertinggi dengan 32 kes, diikuti 13 aduan berkaitan transaksi dalam talian, dan 11 kes melibatkan perkhidmatan mengelirukan.
"KPDN Labuan menegaskan bahawa semua aduan telah disiasat sepenuhnya dan tiada kes yang masih tertangguh.
"Kementerian komited untuk terus melindungi hak pengguna dan memastikan pematuhan oleh para peniaga dengan meneruskan usaha penguatkuasaan serta kesedaran sepanjang tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami