BEIJING: Sekurang-kurangnya 10 orang disahkan terkorban selepas hujan lebat berterusan mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di wilayah selatan serta tengah China.
Pentadbiran Meteorologi China (CMA) mengekalkan amaran jingga bagi hujan lebat dan ribut, sambil memberi amaran bahawa sistem cuaca itu kini berada pada fasa paling kuat.
Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negara China turut mengaktifkan tindak balas kecemasan Tahap IV bagi mempercepatkan bantuan di wilayah Hunan dan Guangxi, selain mengekalkan tahap amaran sama di Hubei, Chongqing dan Guizhou.
Hujan lebat luar biasa itu turut memecahkan beberapa rekod tempatan, khususnya di Hubei apabila sebanyak 337 kawasan mencatat taburan hujan melebihi 100 milimeter dalam tempoh 48 jam, menurut laporan media tempatan.
Di Guangxi, enam orang maut selepas sebuah trak pikap yang membawa 15 penumpang terjatuh ke sungai yang melimpah, manakala tiga lagi maut akibat banjir kilat di Hubei.
Satu lagi kematian dilaporkan di selatan wilayah Hunan.
Beberapa imej yang dikongsikan di platform media sosial China, Douyin, menunjukkan penduduk di Jingzhou, Hubei, terpaksa meredah banjir separas lutut dengan beberapa buah kenderaan hampir tenggelam sepenuhnya, manakala pihak berkuasa tempatan telah menggantung operasi sekolah, perniagaan, serta perkhidmatan pengangkutan awam di kawasan terjejas.
Pakar meteorologi menjelaskan bahawa kawasan taburan hujan lebat yang luar biasa luas ini — menjangkau lebih 1,000 kilometer — berpunca daripada pertembungan kelembapan dari Teluk Benggala, Laut China Selatan, dan Lautan Pasifik, dengan pergerakan perlahan sistem cuaca tersebut memburukkan lagi jumlah takungan air.
Pusat Meteorologi Kebangsaan menjangkakan cuaca ekstrem itu akan terus bergerak ke timur dan selatan dalam tempoh dua hari akan datang, dengan hujan paling lebat diramal di kawasan pertengahan dan hilir Sungai Yangtze bermula Rabu.