KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menyiasat aktiviti jualan secara dalam talian minuman kesihatan jenama Si Hulk yang mendakwa boleh mengubati pelbagai jenis penyakit.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 bagi membendung sebarang bentuk pengiklanan produk kesihatan yang tidak sah dan tidak diperakui.

Justeru beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan produk Si Hulk melaporkan kepada KPDN bagi membolehkan siasatan atau tindakan diambil.

"Setakat ini kita belum menerima aduan berkaitan produk minuman itu, tetapi saya akan minta siasatan dilakukan bagi membanteras aktiviti jualan produk yang tidak menepati peraturan," katanya selepas merasmikan program Jelajah Jualan Rahmah di Kuala Ibai di sini hari ini.

Fuziah berkata sesebuah syarikat yang ingin memasarkan produk dan mempromosikan kebaikan produk dari segi kesihatan perlu mengemukakan bukti saintifik atau kajian yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Apabila nak pasarkan produk perlu daftar syarikat dan jika produk itu mendakwa atau menjanjikan sesuatu perlu kepada kajian saintifik atau kelulusan KKM," katanya.

Julai lepas media melaporkan penutupan aktiviti perniagaan melibatkan kilang air minuman yang dipasarkan kumpulan ajaran sesat Si Hulk di Johor Bahru susulan penarikan sijil halal dan gagal mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.

Minuman berkenaan didapati mengeksploitasi elemen agama secara berlebihan bagi menarik minat pembeli.

Bagaimanapun, produk tersebut didapati masih berleluasa dijual secara dalam talian di pelbagai platform termasuk Shopee.

-- BERNAMA