KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti kemungkinan minyak masak peket bersubsidi dijual oleh pihak tertentu sebagai minyak masak terpakai sehingga menyebabkan gangguan bekalan bahan itu di pasaran.

Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata wujud ruang untuk berlaku penyelewengan apabila minyak masak peket bersubsidi kini dijual pada harga RM2.50 sekilogram, sedangkan harga minyak masak terpakai boleh mencecah sehingga RM3.80 sekilogram.

Fuziah berkata kerajaan memperuntukkan sejumlah 60,000 metrik tan minyak masak bersubsidi setiap bulan dan ia sepatutnya mencukupi bagi menampung keperluan 5.8 juta isi rumah terdiri daripada golongan B40 dan sebahagian M40.

"Keperluan isi rumah selalunya dalam 4.8 kg sahaja sebulan, tapi peniaga mikro yang banyak guna, peniaga mikro ini guna lebih kurang 400 peket sebulan, macam kantin sekolah, peniaga cafe, selain daripada penjaja seperti peniaga goreng pisang dan keropok lekor.

"Kalau dulu mereka (peniaga mikro) mungkin menggunakan minyak masak sama berulang kali, tapi oleh kerana minyak masak terpakai pada hari ini harganya boleh dapat sehingga RM3.80 sekilogram maka peniaga tak perlu kitar banyak kali, tapi dijual (sebagai minyak terpakai)," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Jualan Rahmah Berganda di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai ketirisan berkaitan minyak masak peket bersubsidi susulan cadangan kementeriannya untuk menaikkan harga bahan itu.

Fuziah berkata setakat ini tiada aduan diterima pihaknya berkaitan penyelewengan minyak masak bersubsidi peket yang dijual sebagai minyak masak terpakai.

Tambah beliau cadangan untuk menaikkan harga produk itu adalah sebahagian daripada langkah penyasaran subsidi kepada golongan yang memerlukan, selain memastikan ia tidak mudah dijual sebagai minyak masak terpakai.

Sementara itu, Fuziah berkata kementeriannya sedang melakukan audit ke atas seluruh rantaian pengeluaran dan pembekalan minyak masak bersubsidi di seluruh negara bagi mengesan sebarang ketirisan.

"Audit ini akan selesai pada suku pertama tahun depan dan apabila audit itu selesai baru ada syor-syor berkenaan bagaimana tindakan yang seterusnya. Audit ini berkenaan dengan pelbagai perkara termasuklah berkenaan dengan isu-isu integriti berkaitan rantaian bekalan minyak masak ini.

"Sebab minyak masak ini kita ada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) di mana sistem itu boleh monitor pergerakan minyak itu daripada penapisan kepada pembungkus semula, kepada pemborong dan kepada peruncit," katanya.

-- BERNAMA