NATIONAL
KPDN tumpas aktiviti seleweng LPG bernilai RM2.4 juta seluruh negara

Azman berkata seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan enam warga asing lingkungan 30-an iaitu pekerja di premis terbabit ditahan untuk membantu siasatan. - Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negara bernilai RM2.4 juta, dari 1 Jan 2024 hingga 30 April lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan, 321 kes dihasilkan dan terbaharu, rampasan di sebuah premis sekitar Kawasan Industri Ringan di sini pada 30 April lepas dianggarkan bernilai RM450,000.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati premis itu dijadikan stor haram untuk menjalankan aktiviti decanting iaitu memindahkan LPG bersubsidi yang digunakan untuk isi rumah ke dalam lori tangki gas dengan menggunakan pam pemampat bagi kegunaan industri.
"Sebanyak 976 tong LPG, pam pemampat, hos getah dan beberapa peralatan digunakan dalam kegiatan ini termasuk sebuah lori tangki, dua tangki LPG serta sebuah lori tiga tan disita untuk siasatan lanjut melibatkan jumlah rampasan dianggarkan 17,232 kilogram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.Azman berkata seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan enam warga asing lingkungan 30-an iaitu pekerja di premis terbabit ditahan untuk membantu siasatan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami