PASIR GUDANG: Sejumlah 13.6 tan metrik minyak masak bersubsidi bercampur minyak terpakai dirampas dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kota Masai, di sini, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, premis kilang yang menjalankan aktviti mengumpulkan minyak masak terpakai itu menggunakan modus operandi terbabit bagi menambah kuantiti minyak terpakai untuk dijual, sebelum dijual semula di syarikat biodiesel sekitar kawasan ini.

Difahamkan sekilogram minyak masak terpakai boleh dijual semula pada harga RM8 atau RM9.

Katanya serbuan ke atas premis yang dipercayai telah beroperasi lebih setahun itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa KPDNHEP.

"Premis yang diserbu disyaki menjalankan kegiatan ini di sebalik aktiviti pengumpulan dan penjualan minyak masak terpakai.

"Premis ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki, dengan cara memotong minyak masak plastik polibag (peket) dan mencampurkan ke dalam tangki minyak masak terpakai bagi mendapatkan kuantiti yang banyak untuk jualan dan keuntungan yang lebih.

"Dalam serbuan itu telah menemui dan menyita sejumlah 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai yang dianggarkan bernilai RM88,785.

"Pihak kami juga telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga, merupakan pemilik syarikat bagi membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu telah menemui dan menyita sejumlah 13.6 tan metrik minyak masak yang disyaki telah dicampur bersama minyak masak terpakai. - Foto KPDNHEP

Menurut Hairul Anuar lagi, sitaan turut dibuat ke atas peralatan yang diguna pakai bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi serta rakaman CCTV di lokasi kejadian.

"Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut.

"Bagaimana kilang ini memperoleh bekalan minyak peket, kita masih dalam siasatan. Semua akan disiasat, di setiap rantaian.

"Kita tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras aktiviti penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat," katanya.

Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. Jika disabitkan kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara selama 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.