PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun berjumlah RM64,050 serta menyita barangan bernilai RM52,897.31 sepanjang penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP HRP 2021) yang bermula dari 21 April hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sebanyak 73 aduan diterima sepanjang tempoh itu yang kesemuanya telah disiasat dan akan diambil tindakan.

Beliau berkata sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

"Sebanyak 454 tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes tiada tanda harga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata secara keseluruhannya, didapati kadar pematuhan dalam kalangan peniaga adalah tinggi pada 99 peratus yang mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan kerajaan.

"Malah, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan. Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran," katanya.

Azman berkata kejayaan SHMMP HRP 2021 mendorong KPDNHEP untuk meneruskan pelaksanaan SHMMP bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 yang akan disambut tidak lama lagi.

Pengumuman mengenai senarai barangan yang terlibat dan harga maksimum akan dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Isnin ini (24 Mei), katanya.

-- BERNAMA