KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan pemeriksaan di kedai emas di seluruh negara bagi menangani isu penyelewengan emas di pasaran.

Pengarah penguatkuasanya, Azman Adam berkata, inisiatif itu akan digerakkan secara berperingkat dan setakat ini telah melibatkan empat siri pemeriksaan di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu.

Menurut Azman, bagi memastikan pemeriksaan logam berharga itu lebih efisien dan berkesan, KPDNHEP menggunakan alat pengujian ketulenan logam berharga yang dikenali radas sinaran sinar-X.

Alat tersebut mampu memperoleh bacaan ketulenanan emas di antara 91.6 hingga 95.4 peratus.

"Sasaran kita adalah pergi (operasi) ke seluruh negara untuk memastikan pengguna-pengguna berasa yakin terhadap mutu ketulenan emas yang dijual.

"Pada masa yang sama kita juga mahu peniaga sedar bahawa mereka juga sedang diperhatikan sekiranya mereka ingin menjual emas di bawah daripada mutu yang diisytiharkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke atas ketulenan logam berharga di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada Isnin di Kuala Terengganu.

Menurut Azman, sebanyak 42 kes berkaitan emas 916 dikesan pihaknya dari 2019 hingga kini dengan nilai rampasan sebanyak RM53,463 manakala denda RM20,000 dikenakan kepada syarikat dan individu.

Bagi tahun ini, sebanyak 11 aduan telah diterima pihaknya dengan sembilan kes sudah diambil tindakan melibatkan rampasan bernilai RM3,950.