Sebanyak 28,626 unit barangan tiruan pelbagai jenama bernilai kira-kira RM721,650 telah dirampas menerusi satu serbuan di tiga buah premis di Lorong Meranti, Jalan Kenanga di sini semalam.

Serbuan pada pukul 4.30 petang itu telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur bersama beberapa wakil dari pemilik cap dagang berdaftar.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Cawangan Operasi Khas) KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang terdiri daripada warga Bangladesh (2) dan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an.

“Barangan yang disita dikenal pasti daripada bukti-bukti yang kami dapat. Mereka akan mengedarnya di sekitar Lembah Klang, Pahang, Terengganu dan juga Perak.

“Barang ini disyaki diperolehi daripada luar negara iaitu China dan juga Bangladesh,” ujar Rosli.

Semasa serbuan dilakukan, terdapat sebuah premis yang tiada penghuni sementara dua lagi premis mempunyai seorang pemilik dan dua pekerja.

“Hasil pemeriksaan, kita telah merampas pelbagai barangan tiruan terdiri daripada seluar, baju dan topi berjenama Adidas, Puma, Levi’s serta Nike yang diambil dari negara China dan Bangladesh bernilai RM721,650.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Sunway Putra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, pihaknya juga telah menyita sebuah unit komputer riba dan wang tunai bernilai RM5,000 dipercayai hasil jualan pada hari tersebut.

Jelasnya, perintah reman juga telah dikeluarkan ke atas tiga-tiga lelaki terbabit di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk tindakan lanjut.

Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu dalam kawalan atau jagaan, barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu merujuk kepada cap dagang berdaftar.