KENINGAU: Cubaan menyeleweng 8,300 liter diesel bersubsidi di sini gagal selepas stor simpanan bahan api itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah pada malam Isnin.

Dalam serbuan sekitar jam 9.30 malam itu KPDNHEP turut merampas sebuah kenderaan kepala lori (prime mover), lori tangki serta beberapa peralatan lain dengan anggaran  keseluruhan bernilai RM98,345.00.

Risikan awal yang dijalankan oleh KPDNHEP selama seminggu sebelum operasi mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan mengisi diesel ke dalam tangki kenderaan 'prime mover sebelum memindahkannya ke dalam tangki lori yang terletak dalam stor.

Pengarah KPDNHEP, Georgie Abas berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan pihak yang terbabit bagi mendapatkan gambaran sebenar rantaian bekalan yang terlibat di dalam kes itu termasuk stesen-stesen minyak.

"Modus operandi kegiatan ini adalah dengan membeli minyak diesel melalui pengisian ke tangki kenderaan prime mover dan seterusnya memindahkan minyak berkenaan ke dalam lori tangki yang terletak di stor terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Seorang lelaki tempatan berada di lokasi operasi turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Georgie turut mengingatkan pengusaha stesen minyak agar tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP. 

Siasatan dan tindakan di bawah subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat.