KOTA KINABALU: Kira-kira 15 peniaga dikenakan kompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah selepas didapati gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

Semua kompaun itu dikeluarkan sepanjang operasi pematuhan yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan sejak 21 April lalu hingga semalam membabitkan rampasan pelbagai barangan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya menjalankan sebanyak 2,623 pemeriksaan di seluruh Sabah.

Katanya, 15 kesalahan yang dikesan membabitkan tiga kes menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan, empat kes peniaga gagal menggunakan tanda harga khas (merah jambu) dan lapan kesalahan tidak meletakkan tanda harga.

"Sepanjang operasi, KPDNHEP turut merampas pelbagai barangan bernilai RM592.20 manakala jumlah kompaun yang dikutip adalah sebanyak RM1,950.

"Semua tindakan kes terbabit diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Georgie berkata, operasi itu diadakan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, operasi SHMMP itu dilaksanakan secara dua fasa iaitu empat kategori barangan antaranya ayam, telur ayam, daging dan hasil laut serta 10 jenis barang kawalan untuk fasa pertama.

"Bagi fasa kedua pula yang berkuat kuasa selama 15 hari bermula 6 Mei sehingga 20 Mei depan membabitkan 15 lagi jenis barangan. Dengan penambahan ini, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP kali ini membabitkan  25 barangan," katanya.

Georgie berkata, seramai 200 pegawai penguat kuasa dan 87 orang Pegawai Pemantau Harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sabah akan sentiasa memantau situasi bekalan barangan agar ianya mencukupi, selain memastikan peniaga-peniaga mematuhi SHMMP ini.