KUALA TERENGGANU: Sebanyak 19 kompaun dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP)  sepanjang tempoh fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd  Kia berkata kesemua kompaun tersebut bernilai keseluruhan RM173,500.

Katanya kompaun yang dikeluarkan itu termasuk kesalahan gagal mengamalkan penjarakan, gagal menyediakan peralatan saringan suhu dan merekod butiran diri serta pelbagai kesalahan yang lain.

Jelasnya semua kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 664 pemeriksaan sepanjang 14 hari pelaksanaan PKP 3.0 yang bermula 1 Jun lalu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya selain pemeriksaan pematuhan SOP rutin, KPDNHEP turut melakukan pemeriksaan secara bersama membabitkan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Justeru pemain industri dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah dengan kepentingan menjaga SOP bagi mengelak risiko jangkitan dan kewujudan kluster baharu COVID-19 yang sekaligus akan merencatkan serta menyukarkan usaha pemulihan ekonomi, sektor perniagaan dan perdagangan
domestik.

Sementara itu Saharuddin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa bekalan minyak masak mencukupi dan tiada masalah kekurangan bekalan di semua peringkat rantaian pengedaran.

Katanya, pengguna perlu tahu perbezaan antara minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi bagi mengelak kekeliruan.

Jelasnya lagi bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan dapat dinikmati ramai pengguna, pihak pasar raya adalah dibenarkan untuk membuat kawalan kendiri dengan menghadkan pembelian minyak masak paket bersubsidi.