KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding tiga peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini menerusi pembangunan baharu sektor agrikomoditi yang mampu meningkatkan hasil produk dan pendapatan pekebun kecil.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan melaksanakan pelbagai kaedah untuk menyokong dan menggalakkan pekebun kecil untuk terus meningkatkan hasil mereka termasuk memberikan sokongan dari segi bantuan kewangan dan teknikal.

"Banyak kaedah yang sedang kita usahakan dan insya-Allah saya harap dengan adanya usaha ini, kita akan dapat meningkatkan pendapatan khususnya pendapatan pekebun kecil yang pada akhirnya akan membantu meningkatkan pendapatan negara.

"Ini kerana agrikomoditi memainkan peranan penting dalam ekonomi negara yang mana ketika ini kita menyumbang kira-kira tiga peratus kepada KDNK negara dan berharap dengan pembangunan baharu ini, kita mampu untuk meningkatkan sumbangan kepada pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Selamat Pagi Malaysia bertajuk 'Memperkasa Komoditi Ekonomi MADANI' yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Khamis.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Sektor pertanian (termasuk agrikomoditi) menyumbang sebanyak enam peratus atau RM22.8 bilion kepada KDNK negara bagi suku pertama tahun ini dengan RM18.5 bilion daripadanya disumbangkan oleh sektor agrikomoditi.

Sementara itu, Fadillah berkata sektor agrikomoditi turut memainkan peranan besar dalam merealisasikan wawasan Ekonomi MADANI iaitu meletakkan ekonomi Malaysia untuk menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.

Katanya visi kementerian iaitu memastikan kemampanan sektor agrikomoditi untuk kesejahteraan rakyat juga adalah selari dengan konsep Ekonomi MADANI.

"Kita juga perlu melihat bagaimana kita boleh meningkatkan atau mengekalkan lagi eksport komoditi negara kepada pencapaian yang lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, kementerian turut menumpukan kepada kaedah untuk meningkatkan produktiviti, daripada benih sehinggalah kepada produktiviti penuaian dan pengeluaran produk hiliran yang bukan sahaja menghasilkan minyak sawit mentah, malah bagaimana ia diproses untuk menghasilkan oleokimia untuk digunakan dalam produk kecantikan, kesihatan dan sebagainya.

"Ini kita perlu tingkatkan (produktiviti produk). Kita perlu memainkan peranan bagaimana kita menghubungkan (kerjasama) antara syarikat-syarikat besar dengan pekebun-pekebun kecil.

"Kalau ekonomi dunia meningkat, tetapi pekebun kecil tidak dapat merasai nikmatnya, sudah pasti akan menjejaskan produktiviti pengeluaran. Ini yang kita kena imbangi.

"Pada masa sama, kita perlu melihat apakah sokongan yang boleh kita berikan supaya pekebun kecil boleh memainkan peranan dalam ranataian nilai dan bagaimana untuk memastikan mereka dapat meningkatkan hasilan minyak sawit, getah dan produktiviti," katanya.

Fadillah berkata kerajaan turut menubuhkan koperasi untuk membantu pekebun kecil mendapatkan input pertanian dan sebagainya serta menggunakan teknologi moden supaya mereka dapat meningkatkan hasilan produk dan pendapatan.

-- BERNAMA