KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia dengan pelbagai langkah bagi menampan kesan fenomena El Nino terhadap sektor agromakanan khususnya subsektor padi dan beras yang dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan makanan negara.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata persediaan untuk menghadapi fenomena itu dilakukan oleh agensi di bawah KPKM antaranya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Langkah terlibat termasuk memastikan bekalan air di kawasan tanaman berada pada tahap mencukupi dengan mengagihkan pam backwards dan pam mudah alih; pembinaan telaga tiub; memperbaiki rumah pam; memperbanyakkan parit jejari dan mendalamkan saliran sawah sedia.

"Sekiranya keperluan mendesak, kementerian bersedia melakukan pembenihan awan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri untuk meningkatkan jumlah taburan hujan di kawasan-kawasan takungan air bagi kawasan penanaman padi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) yang ingin tahu usaha kerajaan menghadapi El Nino dan bentuk bantuan yang diberikan kepada pesawah, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata pesawah yang mengalami kemerosotan pengeluaran padi disebabkan perubahan cuaca di luar jangka boleh mendapatkan bantuan saluran tunai menerusi Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

"Bantuan ini adalah mengikut keluasan musnah (hektar) iaitu bagi peringkat tanaman satu hingga 70 hari, kadar bantuan adalah sebanyak RM876 per hektar, manakala bagi peringkat tanaman 71 hingga 120 hari pula sebanyak RM1,800 per hektar dengan jumlah maksimum terhad tiga hektar sahaja dalam satu musim penanaman.

"Bagi pesawah yang terkesan, permohonan bagi TBTP ini boleh dikemukakan melalui Jabatan Pertanian di peringkat daerah dan negeri masing-masing.

"Ia bagi membolehkan pelaksanaan pemeriksaan serta verifikasi yang sewajarnya dilakukan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) TBTP sedia ada, sebelum perakuan dan kelulusan dikemukakan kepada Jawatankuasa Induk di peringkat KPKM," katanya.

Dalam pada itu, Skim Takaful Tanaman Padi yang merupakan projek rintis bagi membolehkan pesawah yang terjejas mendapat ganti rugi akibat bencana alam dan wabak penyakit, masih dalam perancangan dan dijangka dilancarkan 1 April ini.

-- BERNAMA