KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan dakwaan kewujudan kartel atau "mafia" yang menentukan harga padi, beras dan benih padi di negara ini.

KPKM dalam kenyataan hari ini menjelaskan industri padi dan beras negara dikawal selia oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melalui Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan menerusi akta itu, kementerian melaksanakan aktiviti kawal selia melalui pelesenan dan penguatkuasaan untuk memastikan industri padi dan beras berkembang secara sihat dan teratur.

"Akta ini juga memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras dalam mengeluarkan lesen dan permit bagi urus niaga padi dan beras meliputi pengilangan, pemborongan, peruncitan, import atau eksport dan pemindahan antara negeri," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan pengeluaran sebanyak 39,000 pelbagai lesen seperti lesen borong beras, lesen eksport, lesen import, lesen kilang padi, lesen membeli padi, lesen beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS) jelas menunjukkan tiada kartel atau mafia yang dimaksudkan wujud dan mampu memonopoli industri padi dan beras.

"Bagi BPS pula, KPKM memperuntukkan sebanyak 72,000 tan metrik BPS bagi memenuhi keperluan pesawah bagi 2023.

"Lesen pengilangan benih padi sah ini juga diberi kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membekalkan benih padi kepada pesawah. Pengesahan BPS melalui ujian makmal dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPKM memberitahu pihaknya melaksanakan Task Force Operasi BPS pada 7 hingga 21 Nov tahun lepas dalam usaha memastikan semua peruncit menjual BPS mengikut harga ditetapkan kerajaan dan tiada sebarang unsur penyorokan BPS.

Melalui operasi berkenaan, KPKM menarik balik sebanyak 22 lesen penjualan BPS milik peruncit yang melanggar syarat lesen.

"KPKM memberi peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam isu ini.

"Tindakan tegas akan diambil seperti pembatalan lesen sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang," menurut kenyataan itu.

Para pesawah dan pengguna juga dinasihatkan supaya menyalurkan aduan atau maklumat secara rasmi kepada KPKM, jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang melalui portal aduan KPB iaitu https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau [email protected] atau menerusi talian 03-88701751/1748/1183.

Terdahulu, Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia Marzukhi Othman dilaporkan mendakwa wujudnya kartel atau "mafia" padi yang dimonopoli empat hingga lima syarikat besar sejak sekian lama dan telah mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.

-- BERNAMA