JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan bernilai RM8.94 juta bagi kerja-kerja menyelenggara kolam tadahan air di seluruh Johor.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peruntukan berkenaan disalurkan kepada 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan 28 projek kolam tadahan di kawasan penempatan di negeri ini.

Beliau berkata peruntukan bagi menjalankan kerja penyelenggaraan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2023 yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi, RM8.94 juta ini saya sendiri bersama Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan KPKT Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali akan pastikan bahawa pihak PBT dapat melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin kerana harapan kita supaya Belanjawan 2023 dapat dibelanjakan sebaik mungkin dan sampai kepada masyarakat sekeliling.

"Kesemua kolam tadahan ini perlu disiapkan tahun ini, walaupun cuaca tidak menentu supaya selepas ini kita boleh fokus kepada belanjawan berikutnya," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Peruntukan Projek Kolam Tadahan di Pangsapuri Larkin Idaman Lot C di sini hari ini yang turut dihadiri Mohd Fadzli dan Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman.

KPKT peruntukkan RM8.94 juta untuk penyelenggaraan kolam tadahan air di Johor

Akmal Nasrullah dalam pada itu berkata KPKT telah meluluskan sebanyak RM500,000 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk menyelenggara kolam tadahan air di pangsapuri itu.

Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan kolam tadahan air itu turut merangkumi kerja pembersihan serta mendalamkan kolam tersebut bagi mengelak hakisan dan sebagainya.

"Saya turut berkongsi berpandangan dengan Datuk Bandar Johor Bahru supaya kemudahan kolam tadahan ini boleh dipertimbangkan untuk dinaik taraf dijadikan sebuah pusat rekreasi pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA