Skip to main content

Malaysia

KPKT perkenal mekanisme OTP, beri fleksibiliti tarik diri sebelum tandatangan SPA

41733044512_NgaKorMing.jpg
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah yang dicadangkan itu akan membantu kedua-dua pihak mengurangkan komitmen kewangan dan perundangan yang tidak perlu pada peringkat awal. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji untuk memperkenalkan klausa Pilihan untuk Membeli (OTP) di bawah cadangan Rang Undang-Undang Pemajuan Harta Tanah, yang bertujuan memberi fleksibiliti lebih besar kepada pembeli rumah dan pemaju untuk menarik diri sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah yang dicadangkan itu akan membantu kedua-dua pihak mengurangkan komitmen kewangan dan perundangan yang tidak perlu pada peringkat awal.

Beliau berkata mekanisme itu juga akan membolehkan pemaju menilai dengan lebih baik permintaan sebenar pasaran dan daya maju projek sebelum pembinaan diteruskan lebih jauh, sekali gus membantu mengurangkan risiko projek perumahan sakit, lewat dan terbengkalai serta unit hartanah tidak terjual akibat permintaan pembeli yang tidak mencukupi.

“Langkah ini membantu mengelakkan situasi pemaju berdepan kekangan kewangan sekiranya jualan tidak memberangsangkan ketika pembinaan sedang berjalan,” katanya dalam ucapan pada StarProperty Awards 2026 malam tadi.

Nga berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada agenda Reformasi Perumahan MADANI yang lebih menyeluruh, bertujuan memodenkan kerangka kawal selia perumahan Malaysia dan memastikan kemampanan industri untuk jangka panjang.

Menurut Nga, sektor hartanah Malaysia mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan nilai transaksi melebihi RM240 bilion, iaitu paras tertinggi dalam tempoh sedekad, mencerminkan keyakinan pasaran yang mantap susulan kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.

Beliau berkata menerusi pasukan petugas khas KPKT bagi projek perumahan sakit dan terbengkalai, kerajaan berjaya memulihkan lebih 1,500 projek sejak Disember 2022, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM140 bilion serta memberi manfaat kepada lebih 176,000 pembeli rumah di seluruh negara.

Selain reformasi perundangan, Nga berkata KPKT turut mempercepat inisiatif transformasi digital merentas ekosistem perumahan menerusi platform seperti e-SPA, TEDUH dan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS).

“Kami menyasarkan sifar projek sakit menjelang 2030 dan ini memerlukan usaha kolektif semua pihak dalam ekosistem termasuk pemain industri untuk mencapainya,” katanya.

Nga turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan penyediaan berterusan perumahan berkualiti, mampan dan mampu milik kepada rakyat Malaysia menerusi kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video