PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi GiatMARA memperkenalkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Junior di seluruh negara secara berperingkat bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata untuk permulaan, seramai 5,000 pelajar berusia antara 12 hingga 16 tahun disasarkan mengikuti kursus asas jangka pendek yang ditawarkan di 231 GiatMARA seluruh negara.

Mahdzir menjelaskan, seramai 55 pelajar sudah menerima kursus latihan asas TVET di GiatMARA Padang Terap selama lima hari selepas ia dilancarkan pada 13 Mac lepas.

"Melalui program TVET Junior, pelajar akan menjalani latihan atau kursus asas jangka pendek selama dua atau tiga hari pada hujung minggu atau cuti sekolah.

"Antara kursus ditawarkan adalah asas kemahiran seperti pendawaian elektrik, membaiki basikal, latihan masakan seperti membuat kek dan jahitan,"katanya.

Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra dan Penyampaian Sijil TVET Junior@Padang Terap di GiatMARA Padang Terap, di sini, pada Isnin.

Beliau memberitahu, kursus berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai TVET, selain mereka boleh buat sendiri di rumah jika berlaku kerosakan mudah.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya berharap program itu dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk mengikuti program TVET sehingga peringkat tertinggi bagi memenuhi permintaan industri.

Tambah beliau, GiatMARA juga bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan ketua kampung bagi memudahkan pelajar yang berminat menyertai program berkenaan.

Ujarnya, program terbabit dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kerana ia membabitkan modal untuk membeli bahan latihan kepada pelajar terbabit.

"Kita juga sediakan makan minum serta sijil dan selepas tamat kursus, pelajar boleh pilih sama ada mahu teruskan belajar kemahiran ke peringkat tertinggi atau belajar dalam akademik,"katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan KPLB sedia memainkan peranan dalam memacu kolaborasi antara institusi TVET, kerajaan dan industri.

"Kita faham kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan Badan Koordinasi TVET-Kerajaan-Industri (GITC),"katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pelajar mampu memenuhi kehendak industri seperti dalam bidang minyak dan gas, automotif dan perkapalan.


*Berita asal di Sinar Harian