GENTING HIGHLANDS: Sejumlah RM1.16 juta diperuntuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi  melaksanakan agenda ”Kampung Kita Keluarga RISDA”.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, agenda 'Kampung Kita Keluarga RISDA' adalah usaha untuk memperkasa program Kampung Pengembangan yang diperkenalkan pada tahun 2010 untuk meningkatkan amalan pertanian yang baik (GAP) melalui teknologi bersesuaian.

Menurutnya, usaha ini juga bagi meningkatkan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan pengusaha getah dan usahawan di bawah agensi tersebut.

“Program Kampung Pengembangan ini bertujuan menghasilkan model pembangunan setempat yang mempraktikkan amalan agronomi meliputi penggunaan teknologi terkini tanaman getah, mempertingkatkan inovasi dan program-program lain yang bersesuaian.

"Hasrat kita untuk mewujudkan sebuah pusat tumpuan (nukleus) kepada pihak kerajaan dan RISDA dalam menyampaikan segala bentuk maklumat dan penyebaran ilmu kepada masyarakat pekebun kecil di samping membudayakan inovasi. Setiap pusat tumpuan tersebut akan diperuntukkan  sejumlah RM20,000," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Hari Kualiti dan Inovasi RISDA Negeri Pahang di Geo Resort and Hotel di sini, pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

Abdul Rahman berkata, sejumlah RM160,000 telah diagihkan bagi Negeri Pahang dan memberi manfaat kepada 9,600 pekebun kecil di negeri ini.

"Saya turut menyarankan supaya  inovasi yang dihasilkan oleh RISDA ini turut dikongsi kepada agensi kerajaan berkaitan serta pekebun kecil agar ia memberi impak terutama dalam penjimatan kos dan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian," jelasnya.

Pada majlis tersebut, Abdul Rahman turut menyampaikan Anugerah Kualiti dan Inovasi kepada warga RISDA Negeri Pahang yang menunjukkan kualiti penghasilan kerja cemerlang dan penciptaan inovasi baharu.

Sebanyak 13 Anugerah Kualiti dipertandingkan manakala sembilan kumpulan menyertai Pertandingan Inovasi.