LABIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) optimis dalam memastikan semua 552,543 pekebun kecil di bawah agensi itu memperoleh pendapatan mencecah RM4,500 sebulan pada tahun 2025.

Pengerusi Risda, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, sasaran itu berpandukan program tanam semula getah, aktiviti keusahawanan dan pembangunan produktiviti serta pemasaran.

Beliau berkata, strategi itu juga merupakan usaha kerajaan dalam memastikan masyarakat pekebun kecil keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Di samping itu kita juga ingin memperkasa aktiviti ekonomi tambahan kepada pekebun kecil, maknanya kita nak sasarkan pendapatan menjelang 2025 iaitu RM4500 pendapatan seisi rumah, jadi kebergantungan pada getah semata mata tidak akan mencapai sasaran tersebut.

"Malah kita bersama juga generasi muda untuk tingkat pendapatan dengan membina perniagaan khususnya untuk anak generasi kedua Risda," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pekebun kecil Makmur Risda peringkat negeri Johor di Labis, petang Jumaat.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Dalam pada itu katanya, pembangunan Risda di Johor pada tahun ini turut menetapkan sasaran untuk membantu seramai 18,507 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman getah seluas 34,560 hektar melalui peruntukan 41.2 juta yang disalurkan oleh KPLB.

Katanya, daerah Segamat menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM16.9 juta susulan daerah ini mempunyai pekebun kecil paling ramai iaitu 8,181 orang dengan keluasan tanaman getah sebanyak 14,182 hektar.

Tambahnya, Risda turut mensasarkan pembinaan dua depo lateks di daerah Muar dan Segamat melibatkan peruntukan RM100,000 yang bakal memberi kemudahan kepada pekebun kecil setempat.