LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia menggerakkan aset dan fasiliti miliknya bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi COVID-19 di negeri-negeri Pantai Timur yang akan menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Menteri KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata ia sebagai sokongan kepada usaha menyelesaikan vaksin seawal mungkin, memandangkan musim tengkujuh boleh bermula seawal November.

"Kita mempunyai banyak kemudahan seperti dewan kecil atau dewan terbuka di luar bandar yang sesuai dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) kerana lebih mudah untuk penduduk di situ hadir mendapatkan suntikan mereka.

"... paling berkesan ialah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang ada di hampir setiap kampung dan kakitangan mereka juga boleh digerakkan bagi membantu melancarkan perjalanan program vaksin," katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Selain dewan dan bangunan KEMAS, turut sedia digunakan adalah aset Lembaga Kemajuan Wilayah negeri yang berisiko banjir seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Selain negeri pantai timur, Abdul Rahman berkata usaha itu juga boleh dilakukan di negeri yang masih rendah peratusan pemberian vaksin seperti Sabah, Johor dan Kedah.

Mengulas mengenai program hari ini, Abdul Rahman berkata 1,458 penduduk Lipis menerima suntikan vaksin COVID-19 di tiga lokasi PPV iaitu di Kuala Lipis, Benda dan Padang Tengku.

-- BERNAMA