KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mencadangkan kerangka pendidikan menyeluruh dan membangunkan pelan pendidikan baharu dengan mengambil kira faktor global dan dasar dalam pembentukan karakter warganegara.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pembangunan pelan pendidikan baharu, antaranya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan latihan kompetensi guru dan kebolehpasaran individu dalam bidang pekerjaan, dalam dan luar negara.

Jelas beliau, kementerian kini sedang menilai pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan telah memulakan perancangan, libat urus, serta sindikasi dengan pemegang taruh dalam membangunkan Pelan Pendidikan baharu.

"KPM menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang akan menerajui perancangan, hala tuju dan pembangunan pelan pendidikan baharu.

"Perancangan ini akan menjadikan pendidikan manusiawi ke arah Malaysia Madani termasuk menjadikan anak yang baik lagi cerdik dan pembentukan karamah insaniah serta pendidikan karakter sebagai tunjang dalam kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia," katanya di Dewan Negara pada Selasa.

Fadhlina berkata demikian menjawab soalan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian yang minta menyatakan apakah perancangan KPM seterusnya selepas PPPM 2013-2025 berakhir.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menambah, PPPM 2013-2025 yang kini berada di gelombang ketiga telah menunjukkan pencapaian positif termasuk enrolmen di peringkat menengah atas meningkat daripada 77.96 peratus kepada 89.97 peratus pada 2022.

Selain itu, Fahdlina berkata enrolmen murid dalam aliran Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat daripada 4.6 peratus kepada 6.66 peratus.

"Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) turut meningkat daripada 9.6 peratus kepada 83.47 peratus pada 2022.

"Dalam konteks lain, kita melihat bahawa pelan pembangunan ini juga menumpukan dari segi kualiti guru.

"KPM telah memberi tumpuan dalam tiga aspek iaitu pemantapan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan, pemerkasaan profesionalisme serta kelestarian kesejahteraan guru," ujarnya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Jaziri berhubung seramai 222 guru "one-off" yang diberi penempatan ke Sarawak tidak melaporkan diri atau menolak tawaran pula, Fadhlina berkata KPM sedang melaksanakan intervensi bagi mengelakkan perkara tersebut berulang.

"Salah satunya memastikan anak-anak tempatan Sabah dan Sarawak yang diberikan peluang untuk menjadi guru dan menempatkan mereka di kawasan-kawasan di dalam negeri tersebut.

"Dengan intervensi yang telah dilakukan dan juga proses memastikan kebajikan mereka menjadi keutamaan, jadi isu-isu seperti ini dapat kita tangani daripada awal," kata beliau.