JERANTUT: Kesatuan Guru Kebangsaan Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM) mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji semula dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir di sekolah rendah yang menyandang gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Difahamkan tidak lama lagi bermula kohort guru besar yang bakal dinaikkan ke gred DG52, dan kebanyakan mereka masih muda dan tempoh untuk bersara masih jauh lagi.

Presidennya, Mustafa Kamal Husin berkata, pastinya guru besar yang sedang memegang jawatan sekarang akan berada di gred DG52 tidak lama lagi akan 'turun' setaraf guru biasa dan ini sangat mengelirukan.

“Ini boleh berlaku percanggahan antara perjawatan pengetua (sekolah menengah) yang bermula dengan gred DG52 yang layak sebagai ketua jabatan, sedangkan guru besar menyandang jawatannya di gred DG52 dianggap tidak layak untuk mentadbir.

“Hal ini seolah-olah menggambarkan gred DG52 berkenaan berada di posisi atau maksud yang berbeza dan guru besar bakal ‘turun’ ke jawatan guru akademik biasa (GAB) apabila berada di gred DG52,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pihaknya sudah menyuarakan isu berkenaan kepada kementerian, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian dapat dimuktamadkan.

“Kesatuan mahu guru besar yang terbabit dengan isu ini kekal pada jawatan masing-masing biarpun dinaikkan kepada gred lebih tinggi.

“Ini boleh menjejaskan imej guru besar dari sudut pandangan masyarakat kerana ini berlaku perubahan daripada seorang guru besar atau ketua jabatan kepada taraf GAB,” katanya.

Katanya, mengikut perkiraan, guru muda yang mula berkhidmat pada usia 25 tahun dengan gred permulaan DG41 akan mencapai ke gred DG54 pada usia 50.

“Tidak mustahil kerana formula ‘time-based’ iaitu 8 tahun pertama berada di gred DG44, kemudian 8 tahun kedua perkhidmatan akan ke gred D48, 6 tahun berikut akan ke DG52, dan 3 tahun kemudian berada di gred DG54,” katanya.

Mustafa berkata, pihak KPM turut mengalami kerugian kerana apabila seorang guru besar yang mempunyai kemahiran memimpin dan mentadbir kemudian diberi tugas asas seperti guru yang baru tamat latihan perguruan.

“Hal ini dianggap sebagai sekatan kepada laluan kerjaya guru dan sewajarnya majikan (KPM) merangka laluan kerjaya yang menjaga kebajikan pekerja.

“Selain itu, akan ada GAB di sekolah rendah mencapai gred DG52 dan DG54 berada di atas gred guru besar di gred DG48,” katanya.

Katanya, dalam perkembangan sama, isu sama bakal dihadapi pegawai perkhidmatan pendidikan yang berkhidmat sama ada di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Ada maklumat pegawai di JPN dan PPD ditukarkan dan diarahkan kembali mengajar di sekolah selepas dinaikkan gred DG54.

“Begitu juga ada pegawai yang berjawatan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah apabila dinaikkan gred DG54, ditukarkan ke sekolah dan kembali mengajar,” katanya.