GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) menyeru semua pihak di sekolah termasuk guru dan murid agar bersama-sama menjaga kebersihan tandas kerana kerajaan telah membelanjakan RM578.02 juta untuk penyelenggaraan kemudahan itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata peruntukan itu membabitkan penyelenggaraan tandas di 8,020 sekolah dan institusi pendidikan bukan sekolah hingga 31 Okt lepas.

"Saya nak tegaskan, selepas naik taraf ini kami mahu menyeru semua pihak termasuk guru dan murid di sekolah untuk bersama-sama menjaga kebersihan tandas, bukan hanya biarkan petugas kebersihan sahaja.

"Secara amnya, sekolah menerima RM70,000 untuk penyelenggaraan tandas dan setakat ini hanya sejumlah kecil (penyelenggaraan tandas) sekolah masih belum siap. Setakat ini kami berpuas hati dengan projek tersebut.

"Peruntukan penyelenggaraan tandas secara sekali beri itu adalah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin tentang keselamatan dan keselesaan suasana pengajaran serta pembelajaran untuk anak murid kita di sekolah bawah KPM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahli Parlimen Tanjong itu ditemui selepas merasmikan Anjung Ketipang Payung Sekolah Kebangsaan(SK) Tan Sri P. Ramlee di sini hari ini.

Inisiatif penyelenggaraan tandas adalah selaras dengan aspirasi Perdana Menteri semasa Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat yang menginginkan kemudahan tandas yang bersih dan selamat untuk keselesaan lebih lima juta pelajar dan 409,161 guru di negara ini.

Sementara itu, Lim berkata KPM sentiasa cakna isu fasiliti di sekolah termasuk keperluan mendesak yang memerlukan tindakan segera daripada kementerian.

Menurutnya kementerian memberi perhatian terhadap isu berkenaan demi memastikan anak-anak dapat belajar dalam suasana kondusif terutamanya bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) sekali gus memberi semangat kepada mereka untuk tekun belajar.

Terdahulu pada majlis itu, beliau mengumumkan sumbangan RM98,854.00 daripada peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada SK Tan Sri P. Ramlee bagi tujuan menaik taraf gelanggang MBK dan enam bilik Program Pendidikan Khas Intergriti (PPKI) serta perabot untuk pejabat sekolah.

-- BERNAMA