PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) proaktif dalam memastikan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara dapat disegerakan.

Melalui inisiatif bitara Malaysia MADANI, usaha untuk memperkasa pelaksanaan projek ini diterajui bersama Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

Inisiatif dan pemantapan proses kerja memberi tumpuan kepada pengurusan projek di peringkat prabina melibatkan tiga projek rintis iaitu projek di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor; serta Sekolah Kebangsaan Tan Sri Ghazali Jawi, Hulu Perak; dan Sekolah Kebangsaan Seri Adika Raja, Hulu Perak, di Perak.

Walau bagaimanapun projek lain turut terus dilaksanakan melibatkan tiga fasa pelaksanaan projek iaitu prabina, sedang dibina dan sudah siap dibina.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memastikan rakyat dapat mengikuti perkembangan kemajuan pembinaan semua projek terbabit dan KPM turut menyediakan dashboard sekolah daif sebagai rujukan kepada umum termasuk kepada semua ahli parlimen yang ingin mengikuti perkembangan projek di kawasan masing-masing.

“Ini yang menjadi tunjang dan fokus kementerian, yang mana apabila bercakap tentang projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah… tiada sebarang ketirisan, integiriti dijaga, pembinaan dipastikan mengikut jadual ditetapkan selain perolehan tender turut dilaksanakan secara telus.

“Dalam pada itu, adalah amat penting untuk kami sampaikan mesej bahawa perihal sekolah yang mempunyai bangunan daif memang menjadi tumpuan KPM ketika ini. Kedua, penekanan terhadap soal ekosistem selamat untuk anak-anak pergi ke sekolah dan seterusnya adalah akses pendidikan.

“Jika sekolah ini mempunyai bangunan daif, bagaimana kita ingin memberi jaminan akses pendidikan terbaik kepada anak-anak dalam membentuk kemenjadian mereka pada masa hadapan? Ini yang perlu diselesaikan iaitu soal infrastruktur terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Isnin.

KPM proaktif tangani isu bangunan daif di sekolah, tiada dipinggirkan

Astro AWANI turut membuat tinjauan tapak bagi projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (SKBBB), Selangor yang merupakan salah sebuah projek rintis bagi projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah di seluruh negara oleh KPM.

Guru Besar sekolah, Noridah Manap berkata, pihaknya sangat teruja apabila sekolah terpilih menjadi salah sebuah projek rintis yang sudah tentu dapat memberi keselesaan kepada semua muridnya.

“Menerusi projek ini, kami menerima pembangunan empat bilik darjah setingkat dengan fasiliti dua buah tandas selain turut dilaksanakan penyelenggaraan bumbung di lima blok termasuk kerja-kerja pendawaian dan sebagainya.

“Sekolah juga sangat berpuas hati dengan kemajuan pembinaan melalui projek ini yang mengikut jadual dengan pemantauan dari semasa ke semasa, malah saya juga turut dibawa sekali bagi mesyuarat tapak sebelum ini. Justeru itu, kami yakin ia dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan seperti ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKBBB, Norazlin Syahidah Ali, yang juga alumni sekolah tersebut turut gembira dengan penambahbaikan dilaksanakan sekali gus membantu melancarkan proses Pengajaran Dan Pembelajaran (PdP).

“Sekolah ini sudah berusia lebih 40 tahun dan saya mengharapkan perubahan yang lebih baik demi menjamin keselesaan murid dan guru khususnya fasiliti seperti bilik darjah serta kemudahan seperti tandas.

“Ketika ini, sebuah kelas terpaksa menampung lebih 40 orang murid… ia tentu sekali memberi kesan terhadap sesi pempelajaran mereka. Justeru, dengan adanya penambahan lagi empat bilik darjah ini ia pastinya menyediakan suasana kondusif kepada semua murid,” jelasnya.

Sebagai rekod, untuk suku tahun kedua tahun ini terdapat 869 buah sekolah yang mempunyai bangunan pada skala 6 dan 7 di seluruh Malaysia yang dikategorikan sebagai bangunan daif. Daripada jumlah tersebut, bilangan sekolah mempunyai bangunan daif yang tertinggi adalah di negeri Sarawak iaitu sebanyak 367 buah sekolah dan diikuti Sabah 310 buah sekolah.

KPM dalam pada itu menegaskan tiga projek rintis yang sedang dilaksanakan akan turut diperluaskan pelaksanaannya ke sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sabah dan Sarawak seiring dengan 7 Teras Utama Nadi Keunggulan KPM untuk memperkasakan sektor pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur fizikal yang selamat dan selesa di sekolah.