Skip to main content

Malaysia

KPM rangka pendekatan khusus tangani kelemahan matematik murid

KUALA LUMPUR, 19 April - Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Rusmini Ku Ahmad berucap pada majlis - Projek BacaBaca: Celebrates the Transformative Reading Journeys of 100 Children - di Subang Jaya, Selangor semalam. Projek yang bermula pada 2021 itu telah memberi manfaat kepada lebih 700 murid dengan peningkatan kadar literasi 100 peratus merentasi lebih 20 sekolah melibatkan pelbagai komuniti termasuk bandar berpendapatan rendah, luar bandar dan Orang Asli. - fotoBERNAMA (202
Rusmini berkata dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 mengenal pasti kelemahan utama murid dalam Matematik bukan pada keupayaan menjawab soalan secara terus, sebaliknya pemahaman konsep asas dan kemahiran penaakulan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merangka pendekatan khusus menerusi Modul Miskonsepsi dalam Matematik serta penyelarasan kepakaran guru bagi menangani kelemahan penguasaan mata pelajaran itu dalam kalangan murid.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) Rusmini Ku Ahmad berkata dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 mengenal pasti kelemahan utama murid dalam Matematik bukan pada keupayaan menjawab soalan secara terus, sebaliknya pemahaman konsep asas dan kemahiran penaakulan.

Beliau berkata walaupun murid negara ini menunjukkan prestasi baik dalam domain baharu penyelesaian masalah komputasional, mereka masih berdepan cabaran menjelaskan alasan logik di sebalik jawapan Matematik.

"Murid-murid kita mampu melakukan tugasan pengaturcaraan dan permodelan secara dalam talian tetapi wujud ketidakselarian dengan penguasaan Matematik, terutamanya apabila melibatkan soalan penaakulan.

"Bagi mengatasi isu miskonsepsi ini dari peringkat awal hingga sekolah menengah, KPM telah menghasilkan modul khusus serta memasukkan Pelan Transformasi Pendidikan Matematik dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk “PISA 2025: Pencapaian Malaysia, Cabaran dan Hala Tuju” terbitan Bernama TV Rabu malam.

Rusmini berkata pelan itu turut merangkumi latihan semula guru, pengukuhan kepimpinan sekolah serta khidmat nasihat kumpulan pakar bagi memantapkan pengajaran konsep Matematik.

Mengulas kepakaran tenaga pengajar, beliau berkata KPM meneliti data di peringkat sekolah bagi menangani ketidakpadanan opsyen, termasuk guru Matematik yang ditugaskan mengajar mata pelajaran lain.

Dalam pada itu, Rusmini berkata dapatan PISA melibatkan 157 sekolah menunjukkan variasi pencapaian akademik antara sekolah di Malaysia hanya 17 peratus, lebih rendah berbanding purata bagi negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Dapatan ini membuktikan bahawa sekolah yang terletak berhampiran rumah juga berpotensi menjadi sekolah terbaik sekiranya mendapat sokongan padu daripada pengurusan sekolah, guru-guru serta ibu bapa," katanya.

PISA 2025 yang dikeluarkan OECD pada Selasa turut menunjukkan pelajar Malaysia mempunyai sikap positif terhadap pembelajaran, namun pencapaian Matematik menurun berbanding 2022, manakala bacaan dan Sains kekal stabil.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement