BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha menyelesaikan isu berhubung Program Dwibahasa (DLP) sehingga berlakunya demonstrasi oleh ibu bapa di Johor, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata perbincangan telah diadakan melibatkan Jabatan Pendidikan negeri dan ibu bapa bagi mencari penyelesaian terbaik.

"Jabatan Pendidikan negeri sudah mula berbincang dengan ibu bapa terbabit berhubung perkara ini dan kami akan terus berbincang dengan mereka supaya pendapat kedua-dua pihak dapat didengari," katanya kepada pemberita selepas hadir Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sekolah Menengah Cina Batu Pahat di sini semalam.

Pada 26 Mac lepas, media melaporkan kira-kira 100 ibu bapa dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Jalan Yahya Awal di Johor Bahru mengadakan demonstrasi berhubung penurunan mendadak bilangan kelas DLP di sekolah itu.

Menurut Lim pada masa ini terdapat 2,240 sekolah melaksanakan DLP di seluruh negara meliputi 1,613 sekolah rendah dan 807 sekolah menengah.

Sementara itu, Lim berkata Pameran Pendidikan IPTA menyediakan platform kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengetahui lebih lanjut mengenai peluang melanjutkan pelajaran.

Katanya ia adalah pameran keempat diadakan tahun ini selepas sekolah di Klang, Selangor; Georgetown, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.

"Kami bercadang untuk meneruskan penganjuran pameran sebegini tahun depan kerana terdapat minat dari negeri lain terutamanya Sabah dan Sarawak," katanya sambil menambah empat pameran itu telah menarik hampir 10,000 pengunjung.

-- BERNAMA